3 ubat luaran yang selalu diberi untuk penjagaan luka sunat yang lengkap

Tak ramai yang tau macamana nak jaga luka sunat dengan betul selepas bersunat. Untuk kanak-kanak, selalunya ibu bapa kurang pengetahuan tentang bagaimana untuk menguruskan luka sunat anak-anak mereka. Ditambah pula dengan kerenah anak-anak yang kadang-kadang terlalu manja dan tidak mahu pun luka disentuh, luka tersebut terdedah kepada jangkitan kuman kerana tidak dibersihkan dengan betul.

Apabila luka sunat tidak dicuci dan dibersihkan dengan betul, ia boleh menyebabkan luka tersebut dijangkiti kuman. Apabila dijangkiti kuman, luka tersebut akan berair, mungkin bernanah, berbau dan sakit. Ini juga akan menyebabkan tempoh penyembuhan luka menjadi lebih panjang. Dalam beberapa kes, luka tersebut perlu dijahit semula kerana ia terbuka tetapi belum melekat dengan betul selepas benang jahitan terputus.

Oleh itu penjagaan luka luaran sunat perlu dilakukan dengan betul supaya komplikasi yang tersebut di atas boleh dielakkan. Selain dari ubat yang dimakan, kami akan beri juga ubat-ubatan luaran “topical” untuk membersihkan kawasan luka dan mengelakkan jangkitan kuman.

Selalunya selepas sunat, luka akan dibalut oleh doktor untuk menyerap cecair serum dan darah dari luka sunat. Selepas 24 jam, balutan luka boleh dibuka perlahan-lahan. Jika kain kasa “gauze” melekat pada kawasan luka, basahkan kain kasa balutan tersebut dengan air suam dan bilas beberapa kali sehingga ia tertanggal dari kawasan luka.

3 ubatan yang diperlukan untuk penjagaan luka sunat/khatanSelepas balutan dibuka, anda boleh mandi seperti biasa. Luka boleh dibasahkan sewaktu mandi, tetapi ia perlu cepat-cepat dikeringkan dengan tuala kecil yang bersih dan kering. Cuci luka dengan ceciar Chlorhexidine 0.4% yang diberi oleh doktor dengan cara mencelupkan kapas pada cecair tersebut dan lap pada kawasan luka. Buat beberapa kali dan keringkan dengan kain bersih.

Selepas itu, sapukan krim Neomycin 0.3% (berwarna putih) pada sekeliling kawasan luka. Ia berfungsi untuk mengelakkan jangkitan kuman pada luka. Jika luka telah kering, ia tidak perlu dibalut. Tetapi jika luka masih sedikit basah, bolehlah dibalut dengan kain kasa “gauze” cuma jangan balut terlalu tebal atau ketat. Krim Neomycin ini boleh disapukan 2 kali sehari setiap kali selepas mandi.

Pada waktu malam sebelum tidur, selepas membersihkan luka, sila sapukan satu lapisan nipis Solcoseryl gel 10%. Ia berfungsi seperti gam kulit “skin glue” untuk “repair” luka tersebut supaya cepat sembuh.

Kurangkan pergerakan untuk 3 hari pertama selepas sunat. Hadkan aktiviti harian kepada aktiviti yang ringan – jangan bersukan atau mengangkat barang yang berat kerana ia boleh mengakibatkan luka susah untuk sembuh.

Juga makan ubat-ubatan yang telah diberi oleh doktor bersama-sama dengan ubat luaran yang tersebut di atas. Semoga luka anda lekas sembuh!

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.