Author Archives: drizad

Ajak Kawan Bersunat dan dapatkan ganjaran tunai RM20!

  • Terbuka kepada semua klien DEWASA SunatHome yang PERNAH bersunat dengan kami dari tahun 2013 sehingga sekarang.
  • Warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Pelajar dan murid sekolah tidak layak sertai.
  • Anda akan dibayar RM20 untuk setiap kawan yang datang ke SunatHome dan berjaya bersunat dengan kami.
  • Kawan anda juga akan diberikan diskaun istimewa RM20 jika memberitahu yang dia diajak oleh anda!
  • Komisen akan dibayar pada minggu pertama setiap bulan ke dalam akaun bank anda.
    Jika berminat untuk sertai, sila Whatsapp kami nama penuh, nombor IC, nama bank dan nombor akaun untuk memudahkan pembayaran komisen dilakukan.
  • Mulakan promosi dengan kawan-kawan dengan bercerita tentang pengalaman bersunat dan berkongsi faedah serta kebaikan bersunat dari segi kesihatan!

Tips-tips yang boleh digunakan untuk berkongsi dengan kawan-kawan pasal sunat:

  1. Ceritakan pengalaman sendiri pasal sunat dengan SunatHome.

    1. Kenapa nak bersunat, walaupun umur sudah dewasa?
    2. Kenapa pilih untuk bersunat dengan SunatHome?
    3. Apa kelebihan SunatHome berbanding klinik lain dari segi kemudahan bersunat untuk lelaki dewasa?
  2. Ceritakan pengalaman sewaktu prosedur sunat dijalankan.

    1. Apakah yang doktor pesan untuk dilakukan sebelum dan selepas bersunat?
    2. Bagaimanakah pengalaman bersunat dengan menggunakan “Electrocautery Laser”?
    3. Bagaimanakah pula cara-cara penjagaan luka selepas bersunat?
  3. Ceritakan kelebihan selepas luka sunat sembuh.

    1. Berapa lamakah masa yang diambil untuk luka sunat sembuh sepenuhnya?
    2. Apakah faedah-faedah kesihatan yang boleh didapati selepas bersunat?
    3. Bagaimanakah pula keadaan perhubungan intim dengan pasangan selepas bersunat?

Hanya Kongsi >> Terima >> Ulang!

Hubungi Whatsapp kami di 010-9314190 untuk mengetahui maklumat lanjut tentang sunat untuk lelaki dewasa!

Majlis Berkhatan Beramai-Ramai Anak-Anak Yatim

Pada hari Ahad yang lepas, 18 Mac 2018, seramai 9 orang anak-anak yatim dari beberapa rumah anak yatim sekitar Putatan dan Papar berjaya disunatkan. Majlis yang sederhana tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan Anak Rantau Kedah D’Sabah (PARKES) dan telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.

Walaupun cuti sekolah agak pendek (seminggu sahaja), tetapi bersunat menggunakan teknik electrocautery laser ini akan mempercepatkan proses penyembuhan luka sunat. Insyaallah, luka boleh sembuh sebelum sekolah dibuka semula pada minggu hadapan.

Semoga menjadi anak-anak yang soleh dan berguna kepada masyarakat pada waktu akan datang.

Hubungi kami di SunatHome 010-9314190 untuk maklumat lanjut mengenai sunat untuk lelaki dewasa dan kanak-kanak.

Anjuran Persatuan Anak Rantau Kedah D'Sabah (PARKES) pada 18 Mac 2018 di Restoran D'Putih, Taman Pasir Putih, Putatan.

Posted by SunatHome2u on 20hb Mac 2018

Bagaimana mempercepatkan proses penyembuhan luka sunat

Ada sesetengah kes luka sunat yang lambat sembuh, disebabkan oleh kelembapan kawasan luka, jangkitan kuman atau umur pesakit yang lanjut.

Kawasan luka yang terlalu lembab menyebabkan cecair badan keluar dari luka (berwarna jernih kekuningan). Ia tidak sakit, tetapi sedikit berbau. Adalah lebih baik luka begini dibersihkan dengan kerap supaya sedikit kering atau dibalut dengan gauze bersih setiap kali selepas mandi.

Jangkitan kuman pada kawasa luka juga boleh menyebabkan luka lambat sembuh. Kawasan luka yang berwarna merah dan sakit berdenyut-denyut adalah tanda luka sunat dijangkiti kuman. Adalah lebih baik untuk pesakit berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan membunuh kuman tersebut sebelum luka dirawat.

Umur pesakit yang lanjut juga boleh menyebabkan luka lambat sembuh, kerana kulit telah kurang produksi kolagen yang perlu untuk penyembuhan luka.

Untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka sunat bagi ketiga-tiga masalah tersebut, saya selalunya mencadangkan untuk pesakit mendapatkan ubat sapuan gel Solcoseryl Jelly 10% 20 gram yang boleh dibeli di farmasi-farmasi berdekatan. Boleh sapukan ia 3-4 kali sehari selepas luka dibersihkan. Ia akan membantu mempercepatkan proses pemulihan luka.

Bersunat/berkhatan lelaki dewasa dengan kencing manis (diabetes mellitus). Apa yang perlu diketahui?

Kelmarin saya didatangi seorang lelaki dewasa dalam lingkungan 40an yang ingin bersunat/berkhatan. Beliau juga merupakan seorang pesakit kencing manis (diabetes mellitus) selama lebih kurang 5 tahun dan sedang dalam rawatan dengan ubat yang telah diberikan oleh doktor. Persoalan beliau yang utama, bolehkan beliau disunat/dikhatan?

Jawapan mudahnya: Boleh, tetapi dengan syarat, paras gula dalam darah dikawal dengan baik.

Apabila ditanya, beliau menyatakan yang paras gula berpuasa (fasting blood sugar) beliau berkisar antara 10-11 mmol/L. Ini menunjukkan yang paras gula beliau tidak dikawal dengan bagus, kerana sepatutnya paras gula berpuasa sepatutnya berada dibawah 6 mmol/L.

Ada beberapa sebab mengapa paras gula tidak dapat dikawal dengan baik, antaranya ialah:

  1. Tidak makan ubat mengikut dos dan kekerapan yang telah ditetapkan oleh doktor. Beliau mungkin lupa atau sengaja tidak makan ubat kerana rasa tidak perlu.
  2. Makan ubat ikut aturan, tetapi tidak mengawal makanan manis bergula dan karbohidrat yang berlebihan.
  3. Mungkin juga dos ubat tidak cukup bagus untuk mengawal gula dalam darah dengan baik, walaupun telah berpantang makanan bergula dan manis dan bersenam. Jika ini yang berlaku, beliau sepatutnya berjumpa dengan doktor yang merawat kencing manis beliau untuk disemak kembali jenis ubat dan dos yang diberikan, kerana mungkin perlukan sedikit “adjustment” pada jenis ubat dan kekerapan dos.
  4. Mungkin hanya mengharapkan dengan menjaga makan dari makanan yang manis dan bergula dengan bantuan supplemen-supplemen yang tidak diketahui keberkesanannya atau herba-herba yang dikatakan dapat menurunkan paras gula dalam darah, tetapi sebenarnya tidak.

Jika paras gula dalam darah tidak dikawal dengan baik, saya selalunya tidak menggalakkan untuk sunat/khatan dilakukan kerana ia akan menyebabkan:

  1. Luka lambat sembuh. Paras gula yang tinggi di dalam darah akan menyebabkan proses pemulihan dan penyembuhan luka akan menjadi sangat lambat.
  2. Luka terdedah dengan jangkitan kuman. Apabila luka lambat sembuh, ia akan terdedah dengan jangkitan kuman. Dengan paras gula yang tinggi dalam darah, jangkitan kuman amat mudah untuk merebak dan sukar dikawal.

Oleh itu, saya telah menasihatkan beliau untuk mengawal dahulu paras gula dalam darah kepada 6 mmol/L (fasting) dan paras HbA1c beliau 6.5%. Beliau perlu kembali dengan doktor yang merawat beliau dan berbincang untuk memperbaiki rawatan dan ubat agar paras tersebut dapat dicapai. Selepas target paras gula dalam darah dicapai, barulah boleh bersunat.

Jika anda mempunya masalah yang serupa, sila berjumpa dengan doktor yang merawat untuk mengawal dahulu paras gula dalam darah dengan baik. Makan ubat, bersenam dan berpantang dari makan makanan yang manis dan tinggi karbohidrat. Ini adalah untuk memastikan yang rawatan luka sunat selepas berkhatan akan dapat sembuh dengan cepat dan jangkitan kuman dapat dielakkan.

Hubungi kami di 010-9314190 untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sunat lelaki dewasa dan kanak-kanak.

Ketahui DUA jenis benang jahit (luka sunat) yang biasa digunakan oleh doktor

Selalunya luka sunat yang telah dipotong akan dijahit untuk memudahkan proses penyembuhan dan memberikan hasil kosmetik yang cantik apabila luka tersebut sembuh. Jahitan akan dilakukan oleh doktor dengan menggunakan benang jahitan luka yang spesifik untuk kulit manusia. Untuk sunat, benang jahitan yang digunakan adalah jenis yang “absorbable” (mudah diserap oleh badan).

Sebenarnya ada banyak jenis benang jahitan luka mudah diserap yang digunakan di pusat-pusat kesihatan, tetapi untuk sunat, jenis Catgut adalah yang paling sering digunakan kerana ianya mudah didapati, murah dan dapat melakukan tugasnya dengan baik.

Plain Catgut 4/0 (atas) dan Plain Catgut 3/0 (bawah)

Plain Catgut 4/0 (atas) dan Plain Catgut 3/0 (bawah)

Catgut 3/0 dan Catgut 4/0 adalah dua jenis benang jahitan yang sering digunakan untuk menjahit luka sunat. Ia diperbuat daripada bahan organik iaitu usus biri-biri atau lembu. Nombor 3/0 dan 4/0 di belakang nama Catgut merujuk kepada saiz benang. 3/0 adalah benang jahitan yang mempunyai diameter lebih besar dari 4/0. Oleh itu Catgut 3/0 selalunya digunakan untuk menjahit luka sunat lelaki dewasa dan Catgut 4/0 yang berdiameter lebih kecil digunakan untuk menjahit luka sunat kanak-kanak.

Catgut yang digunakan akan mula mereput selepas satu minggu, yang mana ia akan dicernakan oleh enzim yang ada di dalam badan manusia untuk mereput. Selepas lebih kurang dua minggu dan luka sudah sembuh, Catgut tersebut akan tanggal dengan sendirinya.

Anda dilarang untuk mencabut, menarik atau menanggalkan jahitan tersebut terlalu awal kerana dikhuatiri luka di sebelah dalam kulit belum lekat dan sembuh sepenuhnya. Ia boleh mengakibatkan luka terbuka dan jangkitan kuman boleh berlaku. Anda perlu pastikan yang kawasan luka sentiasa kering dan bersih. Luka yang lembab dan kawasan kemaluan yang tidak bersih boleh menyebabkan jangkitan kuman mudah berlaku. Benang akan lebih mudah mereput dan putus lebih awal dalam keadaan begitu.

Hubungi kami di 010-9314190 untuk meklumat lanjut tentang sunat lelaki dewasa dan kanak-kanak.

DOKTOR, JAHITAN SAYA PUTUS DAN TERLEPAS!

Luka sunat akan ditutup dan dijahit menggunakan benang yang akan reput dengan sendirinya selepas seminggu dua. Selalunya benang jahitan jenis Catgut digunakan, kerana ianya murah, mudah didapati dan dapat melakukan fungsinya dengan baik.

Catgut (yang diperbuat dari usus biri-biri dan bukannya usus kucing) berfungsi untuk merapatkan luka pada dua tebing kulit yang dipotong ketika sunat dilakukan. Luka sunat yang dijahit rapat akan mempercepatkan proses penyembuhan luka, berbanding luka yang dibiarkan sembuh dengan sendirinya.

Luka selalunya akan ambil masa lebih kurang seminggu untuk melekat dan kering. Pada masa ini, jahitan tidak lagi diperlukan kerana luka yang sudah melekat tidak akan terbuka semula. Akibat tindakbalas enzim di dalam badan, Catgut akan mula mereput dan putus selepas lebih kurang 10-14 hari dari tarikh sunat.

Namun begitu, ada beberapa kes yang mana Catgut putus terlalu awal. Antara sebabnya ialah jangkitan kuman dan keadaan yang sentiasa basah dan lembab pada kawasan luka. Sebab itulah amat penting untuk kita jaga kebersihan luka dan sentiasa pastikan yang ia kering.

Jika benang jahitan putus terlalu cepat, ia akan menyebabkan luka tidak dapat melekat sempurna dan proses penyembuhan menjadi lambat. “Wound dehisence” atau luka terbuka tanpa penyembuhan yang betul perlu dirawat dengan menjahit semula luka tersebut untuk mengelakkan dari jangkitan kuman dan meninggalkan parut.

Hubungi kami di 010-9314190 untuk maklumat lanjut tentang bersunat/berkhatan lelaki dewasa dan kanak-kanak.

Terima kasih untuk majlis sunat dan khatan beramai-ramai dari SunatHome

Assalamualaikum. Berakhirlah sudah cuti sekolah untuk tahun 2017. Ini bermakna musim sunat untuk murid sekolah juga melabuhkan tirainya.

Alhamdulillah, pada musim cuti sekolah tahun ini, SunatHome telah berjaya menyunatkan lebih 200 orang murid sekolah dan lelaki dewasa dalam tempoh masa lebih kurang sebulan. Semoga luka cepat-cepat sembuh dan boleh bersekolah dan bertugas macam biasa pada Januari 2018 nanti.

SunatHome telah berjaya berkerjasama dengan dua buah masjid yang sungguh jauh jaraknya untuk melakukan sunat/khatan beramai-ramai. Masjid Assalam Kg. Contoh Petagas dan Masjid Asshakirin Kg. Kenangan Dato’ Abdullah Jaafar Bakri Muar telah memberikan kerjasama yang begitu baik dalam menjayakan program tersebut.

Bagaimana masjid tersebut terpilih?

Masjid Assalam merupakan masjid yang bersebelahan dengan sekolah agama anak-anak Dr. Ruhaizad, yang mana tenaga pengajar, ustaz dan ustazahnya adalah AJK masjid terbabit.

Boleh tengok album majlis Jom Sunat 4.0 di sini.

Masjid Asshakirin pula merupakan masjid di kampung halaman Dr. Ruhaizad, yang mana bapa beliau adalah AJK masjid tersebut. Semasa beliau balik bercuti, beliau berkesempatan untuk memberikan khidmat kepada masyarakat kampung setempat.

Boleh tengok album majlis Khatan Perdana di sini.

80 orang kanak-kanak telah disunatkan pada kedua-dua majlis tersebut, yang mana ia dimeriahkan lagi oleh pemimpin setempat, siap dengan pancuran air bomba sebagai pembuka majlis.

Semoga program seumpama ini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang.

Anda ingin majlis khatan beramai-ramai diadakan di tempat anda? Boleh hubungi kami untuk maklumat lanjut di 010-9314190.

Selamat kembali ke sekolah!

Review: Cautertech Penshaped-SS dari Azzamediserve Ent

Bulan lepas alat Flashcutter yang saya gunakan untuk buat sunat guna electrocautery laser selama lebih 3 tahun menemui ajalnya. Entah kenapa tiba-tiba satu pagi tu bila saya hidupkan, lampu LED yang sepatutnya menunjukkan ia berfungsi, tidak menyala. Ngam-ngam pula masa tu saya baru nak mulakan hari di klinik dengan mengkhatankan seorang budak berumur 12 tahun. Saya panik sekejap, sebab budak tu dah pun terbaring dan bersedia di atas katil, sambil saya masih terkial-kial cuba menghidupkan Flashcutter tu.

Apabila semua percubaan untuk menghidupkan alat tersebut gagal, terpaksalah saya gunakan teknik lama “dorsal-slit” untuk buat sunat/khatan. Mujur juga dia berbadan kecil dan zakarnya masih bersaiz kanak-kanak. Kalau orang dewasa, ia mungkin satu prosedur yang akan mengambil masa yang lama. Kulitnya yang masih nipis dan kurang salur darah yang besar betul-betul memudahkan saya untuk melakukan sunat tanpa ada komplikasi yang besar.

Selepas sunat siap, saya menerangkan kepada ayahnya tentang apa yang berlaku dan beliau faham. Beliau perlu menukar balutan pada luka untuk beberapa hari disebabkan sunat dengan cara “dorsal-slit” ini membuatkan luka menjadi kering lebih lambat. Saya selalunya tidak membuat balutan pada luka sunat kanak-kanak yang menggunakan Flashcutter kerana luka cepat kering.

Oleh sebab ada sedikit kesukaran untuk saya menghubungi supplier Flashcutter dengan niat untuk memperbaikinya, (tempoh warrantynya juga sudah luput) saya terpaksa mencari supplier lain yang boleh membekalkan alat electrocautery laser yang baru dengan cepat. Saya memilih untuk mendapatkan alat Cautertech Penshaped-SS electrocautery device keluaran Azzamediserve Enterprise dari Muar, Johor selepas setahun follow facebook page mereka.

Selepas lebih kurang seminggu menggunakan Cautertech ini ke atas beberapa orang klien sunat/khatan dewasa, saya amat berpuas hati dengan prestasi alat ini. Di sini saya ingin kongsikan review alat tersebut supaya anda boleh tahu kebaikan dan aspek yang boleh diperbaiki. Mungkin dengan adanya review ini, pihak Azzamediserve boleh melakukan penambahbaikan kepada alat cautery mereka.

Pek bateri

Kecil dan ringan. Batteri terletak di dalam pemegang yang berbentuk silinder. Oleh kerana saiz bateri yang kecil berbanding Flashcutter yang saya gunakan sebelum ini, kuasa penyimpanan caj juga adalah lebih kecil. Mengikut apa yang diberitahu, dengan sekali caj, ia dapat digunakan untuk buat sunat sehingga 20 orang kanak-kanak. Amat sesuai untuk “clinic settings” dan sunat “home visit”, tapi mungkin kurang sesuai jika diguna sewaktu event besar yang lebih dari 20 orang atau di tempat pedalaman yang jauh dan tiada bekalan elektrik (tak pelik sebab saya tinggal di Sabah).  Mungkin perlu dicaj lebih dari sekali sewaktu program sunat dijalankan, dan mungkin juga perlu bawa “power bank” yang mempunyai kuasa yang besar untuk mengecaj.

Cautertech ini menggunakan micro-usb charger yang biasa untuk telefon bimbit dan smartphone. Ini amat memudahkan kita untuk mengecajnya, kerana kita boleh gunakan pengecaj telefon bimbit yang biasa digunakan.

Handle (pemegang)

Berbentuk silinder dan sedikit berat berbanding flashcutter kerana bateri terletak pada handle. Walaupun saiz bateri lebih kecil berbanding Flashcutter yang saya gunakan sebelum ini, pemegang agak sedikit besar untuk genggaman tangan orang yang kecil. Bentuk silindernya yang sedikit besar juga menyebabkan cara pemegangan handle tidak sekemas bentuk pistol Flashcutter. Oleh kerana ia sedikit berat dan punatnya perlu ditekan dengan ibu jari sewaktu menggunakannya, ia mudah bergoyang dan kurang stabil. Perlukan tangan yang kuat dan mungkin sokongan/sandaran untuk menstabilkannya apabila melakukan cautery.

Tip

Wayar tahan panas untuk pemotongan kulit agak pendek, yang mana sangat sesuai untuk kulit kulup kanak-kanak, namun untuk dewasa, kita perlu menggesek wayar tersebut beberapa kali untuk memotong kulit. Pen tip pendek untuk cautery yang digunakan untuk “burn” salur darah yang kecil agak sesuai bentuk dan saiznya, walaupun kadang-kadang tangan boleh bergegar sewaktu digunakan.

Mudah alih (portable)

Saiz yang kecil, mudah alih dan lebih ringan berbanding Flashcutter. Amat mudah untuk dibawa kemana-mana dan tidak perlukan beg yang besar.

Packaging & presentation

Didatangkan dengan bekas plastik kecil yang memuatkan beberapa bentuk tip, charger dan wayar. Bekas boleh memuatkan instrumen pembedahan untuk sunat, namun ruang adalah terhad.

Bentuk

Silinder yang mudah bergolek jika tidak diletakkan dengan betul. Mungkin perlukan bekas spesifik, diletakkan dalam tray atau kidney dish sewaktu prosedur sunat dijalankan.

Lampu indikator

Berkelip sewaktu dicaj. Lampu terang berterusan bila sudah penuh caj. Tempoh caj boleh mengambil masa hingga 2 jam untuk penuh. Sewaktu digunakan lampu tidak menyala. Lampu akan berkelip ketika caj sudah hampir habis.

After sales service?

Amat mudah untuk dihubungi, namun lojistik mungkin menjadi cabaran. Oleh kerana saya tinggal di Sabah dan tempat rujukan jika ada masalah berada di Muar, Johor, mungkin ada sedikit sukar dan lambat untuk proses pembaikan dilakukan.

Buat masa ini, prestasi alat electrocautery ini amat memberangsangkan. Ada banyak penambah baikan yang boleh dilakukan ke atas alatan ini dari segi kemasan akhir dan presentasi alat. Saya nampak potensi yang besar untuk pencipta dan pembuat alatan ini.

Adakah ia berbaloi dengan harga yang dibayar?

  • Ya!

Untuk siapa Cautertech ini ditujukan?

  • Pembantu Perubatan/Penolong Pegawai Perubatan/Dressar yang melakukan sunat/khatan
  • Doktor-doktor di klinik yang melakukan sunat
  • Juga untuk doktor-doktor yang melakukan pembedahan kecil pada kulit dan pembuangan ketuat

MENCARI PENOLONG PEGAWAI PERUBATAN/PEMBANTU PERUBATAN/DRESSAR (MA) YANG INGIN MEMPELAJARI SKILL MELAKUKAN SUNAT/KHATAN

Belum ramai MA di Kota Kinabalu dan Sabah yang saya tahu melakukan sunat/khatan dengan menggunakan Electrocautery (Laser, kalau ikut isltilah biasa).

Ramai MA yang saya kenal selama melakukan sunat di Kota Kinabalu ini masih lagi menggunakan teknik biasa “Dorsal-slit” yang masih lagi relevan dan masih digunakan oleh doktor-doktor pembedahan di hospital besar dan klinik kesihatan kerajaan.

Namun begitu, teknik “Dorsal-slit” ini mengambil masa yang agak panjang untuk sembuh berbanding Electrocautery ini.

Malah dengan menggunakan Electrocautery, tempoh prosedur sunat dapat disingkatkan sehingga kurang 10 minit untuk seorang kanak-kanak.

Oleh sebab itu, saya ingin mencari Penolong Pegawai Perubatan/Pembantu Perubatan/Dressar dari kawasan Kota Kinabalu yang ingin belajar bagaimana melakukan sunat menggunakan Electrocautery untuk meluangkan masa dan membuat “attachment” di Sunat Home sewaktu cuti sekolah nanti.

Dalam tempoh attachment ini, Pembantu Perubatan tersebut akan:

  1. Diajar tentang prosedur berkhatan/bersunat yang selamat dengan mengikuti garispanduan yang WHO telah dikeluarkan pada tahun 2009.
  2. Diajar tentang cara pembiusan yang betul dan selamat untuk pesakit mengikut dos anastetik yang ditetapkan.
  3. Diajar tentang apakah keadaan di mana sunat tidak boleh dilakukan (contraindicated) dan perlu dirujuk dengan doktor pakar urologi.
  4. Diajar bagaimanakah kita sebagai operator sunat boleh meminimakan risiko kecederaan kepada pesakit.
  5. Diajar tentang penggunaan yang betul alat Electrocautery yang digunakan untuk bersunat.

Oleh itu saya ingin membuka hanya 2 tempat kekosongan untuk MA tersebut menjalankan “attachment” di Sunat Home sewaktu cuti sekolah 2017 nanti.

Antara syarat-syarat “attachment”:

  1. Mestilah mempunyai kelulusan Diploma Pembantu Perubatan dan APC yang sah.
  2. Jika bertugas di sektor awam, anda perlu dapatkan kelulusan Ketua Jabatan untuk membuat attachment di Sunat Home.
  3. Tidak ada faedah kewangan sewaktu attachment dilakukan.
  4. Tidak boleh melakukan sunat sendirian tanpa pengawasan doktor sewaktu “attachment” dijalankan.
  5. Flexible working hours, tetapi total hours untuk attachment ialah 30 jam (dalam tempoh cuti sekolah).

Sijil penyertaan akan diberi untuk mereka yang telah memenuhi syarat “attachment” yang telah ditetapkan.

Jika anda menepati kriteria yang telah digariskan di atas, sila hubungi kami untuk maklumat lanjut.

7 kriteria bagaimana nak pilih tempat bersunat untuk anak anda waktu cuti sekolah

UPSR dah habis. Tak lama lagi, budak-budak sekolah rendah yang lain akan duduki peperiksaan akhir tahun. Insyaallah, akhir bulan November nanti, musim cuti sekolah akhir tahun 2017 akan bermula. Pada masa inilah ibu bapa akan mula tercari-cari tempat yang terbaik untuk anak-anak lelaki mereka BERSUNAT atau BERKHATAN.

Kalau dulu-dulu pada masa zaman ayah dan datuk kita, sunat dilakukan oleh Tok Mudim kampung. Zaman sekarang, Tok Mudim sudah tidak ramai. Kalau ada pun yang tinggal, mungkin sudah rabun dan tidak boleh nampak dengan jelas apa yang mau dipotong. Tangan pun mungkin sudah hilang “fine motor function” yang mana boleh menyebabkan kecederaan yang tidak diingini oleh ibu bapa. Mungkin juga ada pelapis muda yang mewarisi teknik bersunat ini, tetapi agak sukar dijumpai.

Sekarang Tok Mudim sudah digantikan dengan doktor dan dressar (pembantu perubatan) yang rata-rata sudah ada kepakaran dan pengalaman untuk menyunat murid-murid sekolah. Jika prosedur sunat ini dijalankan mengikut garis panduan yang betul, ia adalah satu prosedur yang cepat dan selamat.

Persoalannya sekarang, macam mana nak pilih tempat bersunat yang sesuai untuk anak anda? Apakah perkara-perkara yang anda sebagai ibu bapa perlu tahu sebelum memilih satu-satu tempat atau teknik yang akan digunakan untuk anak-anak anda?

Setelah melakukan sunat atau khatan untuk kanak-kanak lelaki selama lebih 7 tahun, saya ingin berkongsi pengalaman saya tentang bagaimana anda sebagai ibu bapa boleh membuat pilihan dan keputusan yang tebaik untuk anak anda bersunat. Saya sendiri mempunyai 3 orang anak lelaki, yang mana dua daripadanya telah saya sunatkan sendiri.

Di sini saya kongsikan 7 kriteria bagaimana nak pilih tempat untuk anak anda bersunat pada cuti hujung tahun nanti.

Majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Assalam Kampung Contoh, Putatan

#1. Di manakah tempat bersunat?

Nak bawa pergi ke hospital? Klinik? Kerajaan atau swasta? Beramai-ramai di masjid? Atau balai raya? Selalunya bersunat di hospital dan klinik tidak ada banyak masalah, kerana semuanya telah tersedia di tempat tersebut. Suasana selalunya lebih tenang dan terurus. Jika di institusi kerajaan, pesakit mungkin ramai, tetapi kos adalah lebih murah. Bersunat di institusi swasta mungkin ada sedikit mahal, tetapi ia lebih selesa dan cepat. Sekiranya ada apa-apa berlaku dengan prosedur sunat, mereka boleh buat pelan kontingensi dengan cepat.

Berbeza dengan bersunat beramai-ramai di masjid atau balai raya. Ia boleh menjadi satu cabaran yang besar untuk ibu bapa. Ini kerana dengan kanak-kanak yang ramai datang untuk bersunat ditambah lagi dengan seluruh ahli keluarga dan kanak-kanak lain yang tidak terlibat datang menyibuk, ia boleh menimbulkan rasa gemuruh kanak-kanak tersebut. Keadaan boleh jadi lebih teruk sekiranya kanak-kanak pertama yang disunat menangis terjerit-jerit, yang mana boleh menyebabkan semua kanak-kanak lain yang sedang menunggu giliran ketakutan dan lari lintang pukang.

Jadi adalah lebih baik sekiranya anda sebagai ibu bapa tahu keadaan anak-anak anda. Jika dia seorang yang tenang dan mudah dipujuk, tidak kisahlah di mana pun anda bawa dia untuk bersunat. Namun jika anak anda seorang yang suka berdrama, penakut dan mudah menangis maka adalah lebih baik untuk bawa dia ke tempat bersunat yang lebih privasi.

Bersunat di rumah mungkin satu pilihan yang baik untuk kanak-kanak yang penakut. Cuba hubungi doktor atau dressar, sekiranya mereka boleh datang ke rumah dengan segala kelengkapan sunat. Dalam keadaan yang agak selesa di rumah sendiri, kanak-kanak ini mudah bekerjasama dan tidaklah berasa gemuruh semasa prosedur dilakukan.

#2. Siapakah yang akan menyunatkan anak anda?

Tak dinafikan, mungkin ada lagi segelintir golongan Tok Mudim yang masih melakukan sunat dengan menggunakan teknik lama, iaitu pisau lipat, buluh dan batang pisang, namun ia telah semakin ditelan zaman. Sekiranya anda memilih untuk anak anda disunat dengan Tok Mudim, pastikan yang beliau seorang yang berpengalaman. Cuba dapatkan maklumbalas dan testimoni dari ibu bapa yang pernah menghantar anak-anak mereka untuk bersunat dengan Tok Mudim tersebut.

Kebanyakan ibu bapa sekarang lebih selesa membawa anak-anak mereka ke klinik, tidak kira swasta atau kerajaan, yang mana sunat biasanya dilakukan oleh seorang doktor. Dressar (pembantu perubatan) selalunya membuat sunat di hospital melalui badan-badan kebajikan yang mana kebanyakan mereka telah mendapatkan latihan dan kepakaran sewaktu bertugas dengan institusi tersebut.

#3. Apakah teknik yang mereka gunakan?

Jika anda memilih untuk anak anda disunat dengan Tok Mudim, bersedialah yang mereka akan gunakan pisau lipat yang tajam dan bilah buluh. Teknik ini walaupun sudah semakin kurang diamalkan, ia masih selamat, dengan syarat Tok Mudim melakukan prosedur tersebut dalam keadaan “aseptic technique” yang betul. “Aseptic technique” adalah teknik standard pembersihan yang dilakukan untuk semua prosedur pembedahan yang memerlukan keadaan kawasan prosedur bebas kuman. Ini kerana, jika kulit kulup yang disunat tidak dibersihkan dengan betul, ada kebarangkalian yang luka sunat mudah dijangkiti kuman. Tambahan pula, teknik ini tidak menggunakan bius setempat dan luka tidak dijahit, yang mana kedua-dua ini boleh meninggikan risiko jangkitan.

Jika anda memilih untuk anak anda disunat cara biasa menggunakan gunting oleh doktor atau dressar, perlu diingat yang luka sunat perlu dijaga rapi sewaktu proses penyembuhan. Anda perlu menukar balutan pada luka jahitan anak anda setiap hari untuk beberapa hari sehingga luka betul-betul kering. Selalunya anak anda akan berasa sedikit sakit sewaktu balutan dibuka untuk dicuci bersih dan disapu ubat.

Jika anda memilih untuk anak anda bersunat dengan menggunakan klamp, anda perlu ingat yang klamp tersebut akan dipasang pada zakar anak anda untuk sekurang-kurangnya 5 hari dan ia perlu dibuka selepas 5 hari. Selepas klamp dibuka, proses penjagaan luka adalah serupa dengan prosedur sunat menggunakan gunting. Luka perlu dibalut dan balutan perlu ditukar setiap hari untuk beberapa hari. Jika luka didapati terbuka dan tidak lekat sempurna selepas klamp dibuka, ada kemungkinan luka tersebut perlu dijahit semula.

Jika anda memilih untuk anak anda bersunat menggunakan microcautery laser, penjagaan luka selepas sunat tidaklah sesukar 3 teknik di atas, kerana ia adalah satu prosedur yang paling efisien. Selepas bersunat, luka tak perlu dibalut dan anak-anak anda boleh memakai seluar pada hari kedua selepas sunat. Luka juga cepat kering dan sembuh.

Perlu diingat, walau apa pun prosedur sunat, luka sunat selalunya dijahit dengan sejenis benang yang akan larut di dalam isi dan akan tanggal sendiri selepas 10-14 hari. Jangan tarik benang lebih awal, kerana dikhuatiri luka tidak melekat sempurna.

#4. Bagaimana pula dengan rawatan susulan?

Selalunya jika anak anda bersunat di klinik atau hospital, rawatan susulan dilakukan hanya apabila ada masalah berlaku, contohnya pendarahan, bengkak yang teruk, kesakitan yang berterusan, jahitan terlepas atau jangkitan kuman. Dalam kebanyakan kes, anda memang tidak perlu bawa anak untuk kembali berjumpa dengan doktor atau dressar, kerana proses penyembuhan selalunya berlaku secara normal.

Jika anak anda bersunat menggunakan klamp, rawatan susulan adalah perlu kerana klamp yang dipasang perlu dibuka selepas sekurang-kurangnya 5 hari. Proses pembukaan klamp perlu dilakukan oleh doktor yang memasang, kerana dia perlu memeriksa luka sunat samada melekat dengan baik atau tidak. Perlu diingat, bersunat guna klamp tidak ada jahitan, namun jika luka terbuka dan masih tidak melekat sempurna, ia mungkin perlu dijahit.

Rawatan susulan untuk bersunat dengan Tok Mudim selalunya tidak ada. Ibu bapalah yang perlu setiap hari memantau, membersih dan menukar balutan pada luka, dengan harapan ia boleh sembuh tanpa ada komplikasi.

#5. Bagaimana pula dengan ubat-ubatan?

Jika anak anda bersunat dengan doktor atau dressar, tidak kira apa juga teknik yang digunakan, selalunya anak anda akan diberikan ubat penahan sakit, ubat untuk kurangkan bengkak dan antibiotik krim paling kurang. Ada sesetengah doktor memberi antibiotik untuk dimakan untuk mengelakkan jangkitan berlaku.

Namun jika anda memilih untuk anak anda bersunat dengan Tok Mudim, ubat yang mungkin anda boleh beri kepada anak anda ialah panadol biasa yang boleh dibeli dari farmasi, kerana kebanyakan Tok Mudim tidak boleh mendispens dan menyimpan ubat.

#6. Tempoh penyembuhan?

Selalunya, teknik sunat yang diamalkan oleh Tok Mudim akan mengambil masa yang paling lama untuk sembuh, kerana luka tidak dijahit. Ia memerlukan keupayaan kulit anak anda untuk sembuh dengan sendirinya. Balutan pada luka juga perlu ditukar setiap hari untuk mengelakkan jangkitan. Proses penyembuhan boleh mengambil masa sehingga sebulan.

Teknik sunat menggunakan gunting akan mengambil masa yang kedua terpanjang untuk sembuh. Ini kerana kulit yang digunting ada banyak pendarahan, dan ia perlu dijahit dengan rapi untuk memberhentikan darah dan merapatkan kulit yang telah dipotong. Anda perlu menukar balutan setiap hari untuk beberapa hari sehingga luka menjadi kering, dan selalunya ia mengambil masa 2-3 minggu untuk sembuh.

Teknik sunat mengguna klamp pula bergantung kepada keadaan luka selepas klamp dibuka. Jika luka melekat dengan baik, luka sunat akan kering selepas 1-2 minggu. Jika luka tidak melekat dengan baik dan perlukan jahitan semula untuk memperkemaskannya, 2-3 minggu adalah tempoh penymebuhan yang biasa.

Teknink sunat menggunakan microcautery laser mempunyai tempoh penyembuhan yang paling singkat, iaitu 3-5 hari. Ini kerana, luka tidak mengalami pendarahan selepas disunat dan ia mudah kering. Penjagaan luka juga amat mudah dan ringkas kerana ia tidak memerlukan balutan.

#7. Jika ada apa-apa berlaku, apa nak buat?

Jika anak anda bersunat dengan Tok Mudim dan ada pendarahan berlaku selepas bersunat, ada kemungkinan anda perlu ke klinik atau ke jabatan kecemasan hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Dalam kebanyakan kes, Tok Mudim tidak punyai kelengkapan yang khas untuk memberhentikan darah, memberi ubat bius setempat dan menjahit luka.

Jika anak anda bersunat dengan doktor atau dressar, anda boleh bawa anak anda kembali berjumpa dengan mereka sekiranya ada apa-apa berlaku selepas bersunat. Mereka selalunya bersedia untuk membantu kerana segala kelengkapan bersunat, rawatan kecemasan dan susulan ada di tempat mereka.

Jika anak anda bersunat beramai-ramai di masjid, adalah lebih bagus untuk dapatkan maklumat peribadi seperti nama dan nombor telefon si tukang sunat, sekiranya ada keperluan untuk menghubungi mereka semula. Jika tidak, anda perlu ke hospital atau klinik untuk rawatan lanjutan.

Hubungi kami di SunatHome untuk prosedur sunat lelaki dewasa dan kanak-kanak menggunakan microcautery laser yang selesa, selamat dan cepat.