Bersunat/berkhatan lelaki dewasa dengan kencing manis (diabetes mellitus). Apa yang perlu diketahui?

Kelmarin saya didatangi seorang lelaki dewasa dalam lingkungan 40an yang ingin bersunat/berkhatan. Beliau juga merupakan seorang pesakit kencing manis (diabetes mellitus) selama lebih kurang 5 tahun dan sedang dalam rawatan dengan ubat yang telah diberikan oleh doktor. Persoalan beliau yang utama, bolehkan beliau disunat/dikhatan?

Jawapan mudahnya: Boleh, tetapi dengan syarat, paras gula dalam darah dikawal dengan baik.

Apabila ditanya, beliau menyatakan yang paras gula berpuasa (fasting blood sugar) beliau berkisar antara 10-11 mmol/L. Ini menunjukkan yang paras gula beliau tidak dikawal dengan bagus, kerana sepatutnya paras gula berpuasa sepatutnya berada dibawah 6 mmol/L.

Ada beberapa sebab mengapa paras gula tidak dapat dikawal dengan baik, antaranya ialah:

  1. Tidak makan ubat mengikut dos dan kekerapan yang telah ditetapkan oleh doktor. Beliau mungkin lupa atau sengaja tidak makan ubat kerana rasa tidak perlu.
  2. Makan ubat ikut aturan, tetapi tidak mengawal makanan manis bergula dan karbohidrat yang berlebihan.
  3. Mungkin juga dos ubat tidak cukup bagus untuk mengawal gula dalam darah dengan baik, walaupun telah berpantang makanan bergula dan manis dan bersenam. Jika ini yang berlaku, beliau sepatutnya berjumpa dengan doktor yang merawat kencing manis beliau untuk disemak kembali jenis ubat dan dos yang diberikan, kerana mungkin perlukan sedikit “adjustment” pada jenis ubat dan kekerapan dos.
  4. Mungkin hanya mengharapkan dengan menjaga makan dari makanan yang manis dan bergula dengan bantuan supplemen-supplemen yang tidak diketahui keberkesanannya atau herba-herba yang dikatakan dapat menurunkan paras gula dalam darah, tetapi sebenarnya tidak.

Jika paras gula dalam darah tidak dikawal dengan baik, saya selalunya tidak menggalakkan untuk sunat/khatan dilakukan kerana ia akan menyebabkan:

  1. Luka lambat sembuh. Paras gula yang tinggi di dalam darah akan menyebabkan proses pemulihan dan penyembuhan luka akan menjadi sangat lambat.
  2. Luka terdedah dengan jangkitan kuman. Apabila luka lambat sembuh, ia akan terdedah dengan jangkitan kuman. Dengan paras gula yang tinggi dalam darah, jangkitan kuman amat mudah untuk merebak dan sukar dikawal.

Oleh itu, saya telah menasihatkan beliau untuk mengawal dahulu paras gula dalam darah kepada 6 mmol/L (fasting) dan paras HbA1c beliau 6.5%. Beliau perlu kembali dengan doktor yang merawat beliau dan berbincang untuk memperbaiki rawatan dan ubat agar paras tersebut dapat dicapai. Selepas target paras gula dalam darah dicapai, barulah boleh bersunat.

Jika anda mempunya masalah yang serupa, sila berjumpa dengan doktor yang merawat untuk mengawal dahulu paras gula dalam darah dengan baik. Makan ubat, bersenam dan berpantang dari makan makanan yang manis dan tinggi karbohidrat. Ini adalah untuk memastikan yang rawatan luka sunat selepas berkhatan akan dapat sembuh dengan cepat dan jangkitan kuman dapat dielakkan.

Hubungi kami di 010-9314190 untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sunat lelaki dewasa dan kanak-kanak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *