Pakej ubat-ubatan untuk penjagaan luka selepas bersunat

Selepas bersunat, doktor akan memberikan ubat-ubatan untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka dan mengelakkan dari luka dijangkiti kuman. Ubat-ubatan yang diberi boleh terus diambil sejurus selepas bersunat, terutamanya ubat penahan sakit kerana ubat bius yang diberi sewaktu prosedur sunat dijalankan hanya boleh bertahan untuk 1-2 jam sahaja. Selepas tempoh tersebut, anda akan berasa sakit daripada luka electrocautery laser pada keliling batang zakar.

Di sini saya ingin kongsikan ubat-ubatan yang akan diberi untuk makluman dan kemudahan anda.

1. Cecair pencuci luka, Chlorhexidine solution 0.4%, 60ml

Cecair pencuci luka ini perlu digunakan selepas mandi untuk mencuci luka sunat. Celupkan kapas yang diberi bersama-sama dengan cecair tersebut dan lapkan luka sunat dengan kapas yang dibasahi Chlorhexidine. Ini bertujuan untuk mencuci luka dari kuman yang ada pada kawasan luka. Selepas mencuci, lapkan kawasan luka dengan kain bersih dan kering atau tisu kering. Lakukan dua kali sehari selepas mandi.

2. Kapas

Kapas perlu digunakan dengan cecair Chlorhexidine 0.4% untuk mencuci luka. Basahkan kapas dengan cecair tersebut sebelum digunakan untuk mencuci luka. Jangan gunakan kapas yang kering untuk mengelap atau mencuci luka. Ini akan menyebabkan kapas melekat pada kawasan luka.

3. Krim antibiotik, Neomycin cream 5 gram

Krim antibiotik ini berfungsi untuk membunuh kuman dan mengelakkan luka dari dijangkiti kuman. Ini kerana kuman boleh masuk ke dalam luka melalui kulit yang dipotong dan menyebabkan jangkitan. Jangkitan boleh melambatkan proses penyembuhan luka dan menyebabkan luka tidak dapat bercantum dengan baik sepenuhnya. Sapukan dua kali sehari pada luka selepas mandi dan cuci kawasan luka dengan cecair Chlorhexidine 0.4%. Luka tidak perlu dibalut selepas ubat disapu. Ini kerana kita mahukan kawasan luka tersebut kering. Jika dibalut, luka akan menjadi lembab dan lambat kering.

4. Ubat kurangkan bengkak, T. Papain, 10 biji

Ubat ini boleh dikunyah untuk mengurangkan bengkak pada kawasan kulit luka sunat. Ini kerana, selepas bersunat, kawasan luka mudah bengkak disebabkan oleh prosedur sunat itu sendiri, atau jika anda berjalan banyak, ia juga boleh bengkak. Makan ubat ini 3 kali sehari selepas makan.

5. Ubat penahan sakit untuk kanak-kanak, T. Paracetamol 500mg, 10 biji

Ubat Paracetamol ialah sebenarnya Panadol yang biasa kita boleh dapat dari kedai-kedai ubat dan farmasi. Untuk ubat penahan sakit bagi kanak-kanak, saya lebih suka beri mereka Paracetamol. Makan ubat ini 3 kali sehari selepas makan.

6. Ubat penahan sakit untuk dewasa, T. Diclofenac Sodium 50mg, 10 biji

Ubat Diclofenac ini diberikan kepada orang dewasa lelaki selepas bersunat, kerana keupayaannya untuk memberikan kelegaan daripada sakit pada kawasan luka sunat lebih kuat berbanding Paracetamol. Makan ubat ini 3 kali sehari selepas makan.

7. Ubat antibiotik (pembunuh kuman), T. Amoxycillin 250mg atau 500mg, 10 biji

Ubat Amoxycillin ini berfungsi membunuh kuman yang ada pada kawasan kulit luka, sekaligus mengurangkan risiko luka untuk kena jangkitan. Untuk kanak-kanak, dosnya ialah 250mg dan untuk dewasa dosnya ialah 500mg. Sekiranya anda mempunyai alergik kepada antibiotik kumpulan penisilin, sila maklumkan kepada kami, kerana anda tidak boleh ambil Amoxycillin ini sebagai antibiotik. Anda akan diberi Erythromycin. Makan ubat 3 kali sehari selepas makan.

Mau bersunat dengan teknik laser yang cepat dan bersih? Hubungi kami di 010-931 4190.

 

4 thoughts on “Pakej ubat-ubatan untuk penjagaan luka selepas bersunat”

    1. Boleh continue ubat bengkak dan antibiotik. Tiada masalah. Cuma jika bengkak berpanjangan dan sakit bertambah, sila berjumpa dengan doktor yang melakukan sunat.

  1. Salam saya cuma nk tau apakah nama sejenis tablet yang pernah digunakan oleh orang-orang dahulu terutama mudim kampung utk mengeringkan luka bersunat dgn cara menghancurkan dan ditaburkan ke atas luka tersebut. Tablet ini tidak boleh dimakan hanya untuk kegunaan luar sahaja. Saya rasa tablet ini sudah tiada lagi di pasaran.

    1. Waalaikumsalam Wan Ruzil. Ya, ubat sebegitu sudah lama tidak digunakan kerana sudah ada krim/gel sapuan yang lebih mudah dan efektif untuk penjagaan luka sunat.

Leave a Reply to Anis amira bt sabri Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.