Tag Archives: khatan

Rasa down sebab sunat kampung dan tak sempurna sewaktu kecil

Semalam ada satu appoinment sunat untuk seorang abang ni yang berasal dari Lahad Datu. Dia buat appoinment untuk bersunat dengan saya di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu kerana inginkan privasi.

Sewaktu prosedur sunat dijalankan, saya ada bertanya dengan beliau, kenapa baru sekarang terfikir untuk sunat semula?

Rupa-rupanya beliau memang sudah lama mencari tempat untuk bersunat lelaki dewasa yang ada privasi dan jauh dari Lahad Datu. Ini kerana, beliau malu untuk bersunat di klinik-klinik di Lahad Datu kerana hampir kesemua doktor di Lahad Datu itu beliau kenal. Jadi beliau buat keputusan untuk datang ke KK untuk bertemu dengan saya untuk bersunat.

Beliau juga mengatakan yang beliau ada rasa down bila beliau ketahui yang hasil sunat kampung waktu beliau kecil adalah tidak sempurna. Masih banyak lagi kulit kulup yang ada, menyebabkan beliau rasa was-was dan kurang keyakinan apabila melakukan ibadah seperti mengambil wuduk dan solat.

Walaupun beliau sudah berumahtangga dan mempunyai dua orang anak, beliau tetap rasa tidak sedap hati dengan keadaan “burong” beliau yang belum lagi disunatkan dengan sempurna. Beliau juga mengatakan yang prosedur yang beliau lalui ini tidak diketahui oleh isterinya.

Syukurlah sejurus selepas sunat dilakukan, beliau rasa lega dan tenang kerana keinginan beliau untuk bersunat untuk sekian lama telah tercapai. Prosedur sunat tersebut hanya mengambil masa 45 minit. Selepas sunat dan makan ubat penahan sakit, saya sarankan untuk beliau tidur kerana keesokan paginya beliau akan memandu pulang ke Lahad Datu.

Semoga beliau lekas sembuh.

Mandi laut selepas bersunat

Mandi laut selepas bersunat di Pulau Mantanani

Berapa lamakah tempoh penyembuhan luka sunat?

Tempoh penyembuhan luka sunat agak berbeza di antara kanak-kanak dan lelaki dewasa. Oleh kerana kulit kanak-kanak masih lagi nipis dan salur darah yang kecil, tempoh penyembuhan luka sunat untuk kanak-kanak lelaki adalah lebih cepat berbanding dewasa.

Selalunya luka akan kering selepas satu hari bersunat, dan kebanyakan kanak-kanak boleh memakai seluar seperti biasa. Namun begitu, ramai juga ibu bapa yang selesa dengan anak-anak lelaki mereka memakai kain pelikat sahaja selepas sunat untuk beberapa hari. Luka selalunya sembuh sepenuhnya antara 1-2 minggu.

Untuk lelaki dewasa, luka sunat akan mengambil masa lebih panjang untuk sembuh, iaitu dari 4 hingga 6 minggu. Selepas sunat, luka mungkin mengambil masa 3-5 hari untuk kering dan selalunya pada waktu ini, mereka boleh bekerja ringan seperti biasa. Waktu ini tidak digalakkan untuk membuat kerja berat seperti mengangkat barang yang berat, bersukan atau berdiri terlalu lama kerana ia boleh menyebabkan luka sunat menjadi bengkak dan berdarah.

Pakai seluar yang longgar dan elakkan dari memakai seluar yang ketat seperti jeans kerana ia tidak selesa untuk luka sunat. Bolej juga gunakan seluar dalam khas untuk sunat jika ada. Ia akan membantu melindungi luka sunat dari sentuhan atau tekanan dari seluar dalam yang dipakai. Kain pelikat adalah pakaian terbaik untuk lelaki yang bersunat.

Oleh kerana benang jahitan yang digunakan ialah jenis “absorbable” atau larut di dalam kulit/diserap oleh badan, jahitan tidak perlu dibuka. Selalunya jahitan akan putus sendiri selepas 10-14 hari, dengan syarat luka dijaga dengan bersih dan kering.

Jika ada jangkitan, luka sunat boleh mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh dan jahitan boleh terbuka lebih awal. Jika ini berlaku, ada kemungkinan luka terpaksa dijahit semula untuk mengelakkan jangkitan kuman dan mengelakkan dari luka menjadi buruk (tidak cantik dari segi kosmetik).

Sila ikut arahan doktor untuk ubat-ubatan yang diberi. Selalunya doktor akan beri ubat untuk kegunaan luaran (pada luka) dan ubat untuk dimakan. Ini boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka sunat.

Ada juga pesakit yang bertanya, bilakah mereka boleh melakukan seks dengan pasangan. Selalunya saya nasihatkan untuk berikan masa sehingga 6 minggu sebelum hubungan seks dilakukan, kerana selalunya selepas 6 minggu, luka sudah sembuh sepenuhnya. Jika masih tidak selesa, boleh gunakan kondom.

Makanlah makanan yang berkhasiat, kurangkan merokok dan minuman beralkohol. Ia amat membantu di dalam proses penyembuhan luka kulit.

3 ubat luaran yang selalu diberi untuk penjagaan luka sunat yang lengkap

Tak ramai yang tau macamana nak jaga luka sunat dengan betul selepas bersunat. Untuk kanak-kanak, selalunya ibu bapa kurang pengetahuan tentang bagaimana untuk menguruskan luka sunat anak-anak mereka. Ditambah pula dengan kerenah anak-anak yang kadang-kadang terlalu manja dan tidak mahu pun luka disentuh, luka tersebut terdedah kepada jangkitan kuman kerana tidak dibersihkan dengan betul.

Apabila luka sunat tidak dicuci dan dibersihkan dengan betul, ia boleh menyebabkan luka tersebut dijangkiti kuman. Apabila dijangkiti kuman, luka tersebut akan berair, mungkin bernanah, berbau dan sakit. Ini juga akan menyebabkan tempoh penyembuhan luka menjadi lebih panjang. Dalam beberapa kes, luka tersebut perlu dijahit semula kerana ia terbuka tetapi belum melekat dengan betul selepas benang jahitan terputus.

Oleh itu penjagaan luka luaran sunat perlu dilakukan dengan betul supaya komplikasi yang tersebut di atas boleh dielakkan. Selain dari ubat yang dimakan, kami akan beri juga ubat-ubatan luaran “topical” untuk membersihkan kawasan luka dan mengelakkan jangkitan kuman.

Selalunya selepas sunat, luka akan dibalut oleh doktor untuk menyerap cecair serum dan darah dari luka sunat. Selepas 24 jam, balutan luka boleh dibuka perlahan-lahan. Jika kain kasa “gauze” melekat pada kawasan luka, basahkan kain kasa balutan tersebut dengan air suam dan bilas beberapa kali sehingga ia tertanggal dari kawasan luka.

3 ubatan yang diperlukan untuk penjagaan luka sunat/khatanSelepas balutan dibuka, anda boleh mandi seperti biasa. Luka boleh dibasahkan sewaktu mandi, tetapi ia perlu cepat-cepat dikeringkan dengan tuala kecil yang bersih dan kering. Cuci luka dengan ceciar Chlorhexidine 0.4% yang diberi oleh doktor dengan cara mencelupkan kapas pada cecair tersebut dan lap pada kawasan luka. Buat beberapa kali dan keringkan dengan kain bersih.

Selepas itu, sapukan krim Neomycin 0.3% (berwarna putih) pada sekeliling kawasan luka. Ia berfungsi untuk mengelakkan jangkitan kuman pada luka. Jika luka telah kering, ia tidak perlu dibalut. Tetapi jika luka masih sedikit basah, bolehlah dibalut dengan kain kasa “gauze” cuma jangan balut terlalu tebal atau ketat. Krim Neomycin ini boleh disapukan 2 kali sehari setiap kali selepas mandi.

Pada waktu malam sebelum tidur, selepas membersihkan luka, sila sapukan satu lapisan nipis Solcoseryl gel 10%. Ia berfungsi seperti gam kulit “skin glue” untuk “repair” luka tersebut supaya cepat sembuh.

Kurangkan pergerakan untuk 3 hari pertama selepas sunat. Hadkan aktiviti harian kepada aktiviti yang ringan – jangan bersukan atau mengangkat barang yang berat kerana ia boleh mengakibatkan luka susah untuk sembuh.

Juga makan ubat-ubatan yang telah diberi oleh doktor bersama-sama dengan ubat luaran yang tersebut di atas. Semoga luka anda lekas sembuh!

 

 

Bersunat untuk warga emas – apa yang penting?

Antara mereka yang saya sunat ialah golongan lelaki warga emas, yang mana rata-rata adalah muallaf (reverted Muslim).

Namun, golongan warga emas ini kebanyakannya sudah mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi, gout dan kolesterol.

Adalah amat penting bagi mereka menjaga dan mengawal pemakanan, agar aras gula dapat dikawal dengan baik.

Ini kerana, jika aras gula di dalam darah tidak dapat dikawal dengan baik, risiko untuk berlaku komplikasi seperti jangkitan dan luka yang lambat sembuh boleh berlaku.

Sila kawal dahulu gula dengan baik sebelum datang untuk bersunat. Ini akan mempercepatkan proses penyembuhan dan mengurangkan komplikasi selepas bersunat.

3 Sebab kenapa lelaki dewasa perlu bersunat

Ada 3 golongan lelaki dewasa yang datang ke klinik untuk bersunat. Antaranya ialah:

1. Mereka yang mempunyai masalah kesihatan:
– Jangkitan kuman yang berulang pada kulit kulup.
– Kulit kulup yang sempit (phimosis).
– Palat (smegma)

2. Mereka yang wajib:
– Muslim yang pernah sunat kampung waktu kecil dan tidak sempurna kerana kulti masih menutup glans.
– Muallaf yang memeluk Islam.
Kedua-duanya adalah untuk memenuhi tuntutan syarak dan kesempurnaan ibadah.

3. Mereka yang sukarela untuk bersunat:
– Selalunya bukan Islam, mereka bersunat untuk memudahkan penjagaan kebersihan kawasan kemaluan.

Sunat untuk kanak-kanak gemuk. Apa isunya?

Saya selalu pesan kepada anak-anak yang berbadan besar dan gempal untuk cuba kurangkan berat badan.

Cuba kurangkan pengambilan makanan ringan (jajan, keropok) atau hentikan sama sekali.

Hentikan minum minuman manis dan bergas (berkarbonat).

Hentikan makan pada waktu tengah malam. Cuba minum air kosong jika terbangun waktu malam sebab lapar.

Dan jangan lupa untuk bersenam. Kurangkan bermain game di henpon.

Sebab kalau badan terlalu besar dan gemuk, susah nak buat sunat!

3 Kerisauan ibubapa bila bawa anak lelaki mereka mencari tempat/klinik untuk bersunat

1. Risau tentang keselamatan – sebab ada kes tular 2-3 tahun lepas, ada yang cedera sewaktu bersunat.

2. Risau anak tak tahan sakit – walaupun dah bagi bius, tapi kenapa masih menjerit-jerit sakit?

3. Risau luka anak lambat sembuh – selalunya kalau bebird dia buta (phimosis), takut tak sempat sembuh sebelum habis cuti sekolah.

Kalau ada kenal kawan-kawan yang ada anak lelaki dan sedang cari tempat bersunat, bagus tengok video ni dulu.

Mana tau bermanfaat. Kan?

Kenapa muallaf (reverted muslim) perlu bersunat/berkhatan?

Antara sebab kenapa perlu bersunat/berkhatan untuk muallaf ialah faktor kebersihan dan kesucian diri, sebelum menunaikan ibadah khusus seperti solat, haji dan umrah.

Bila tidak bersunat, ada kebarangkalian yang air kencing boleh bertakung di dalam kulit kulup setiap kali selepas kencing, lebih-lebih lagi jika tidak dicuci dengan betul sebelum mengambil wuduk.

Bersunat/berkhatan boleh menyelesaikan masalah ini, malah jika mengikut Mazhab Imam Syafie, adalah wajib untuk orang Islam bersunat.

Masalah keputihan pada lelaki dewasa – apakah jalan penyelesaian terbaik?

Kelmarin ada seorang jejaka berumur dalam lingkungan 30an datang ke klinik untuk berkhatan. Beliau mengalami masalah keputihan yang agak serius, yang mana ia telah menyebabkan kulit kulup beliau merekah, berdarah, gatal, menebal dan membengkak.

Beliau telah mengalami masalah yang sebegini sejak lebih kurang setahun yang lalu. Sebelum masalah keputihan yang serius ini berlaku, beliau sebenarnya mempunyai masalah kulit kulup yang agak sempit (phimosis), dan setiap kali mandi atau membersihkan diri, beliau mengalami kesukaran untuk menarik kulit kulup ke belakang untuk mencuci bahagian glans penis.

Pada kebiasaannya, proses pembersihan glans penis berjalan lancar. Kadang-kala beliau membersihkan glans penis dengan air bersih dan kadang-kala dengan sabun mandi.

Namun, pada satu hari, beliau agak kurang berhati-hati sewaktu melakukan pencucian. Kulit kulup beliau sedikit terkoyak semasa cuba menariknya ke belakang untuk mencuci. Selepas beberapa hari, kawasan kulit kulup yang terkoyak ini sedikit membengkak dan keradangan berlaku.

Apabila kulit kulup ini membengkak, beliau tidak lagi dapat menarik langsung kulit kulup ke belakang untuk dicuci. Ini mengakibatkan kegatalan pada kawasan glans penis dan kulit kulup, dan selepas beberapa minggu, beliau mendapati ada ketulan-ketulan putih keluar daripada hujung kulit kulup beliau.

Lama-kelamaan, ketulan-ketulan keputihan beliau semakin banyak dan berbau. Beliau rasa sungguh tidak selesa dan telah pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Setelah berjumpa dengan beberapa orang doktor di beberapa klinik, beliau diberi krim untuk disapu pada kawasan luka. Dengan krim tersebut, beliau mendapati ada sedikit perubahan yang bagus pada kawasan kemaluan beliau. Keputihan dan bau semakin kurang.

Namun, selang beberapa minggu masalah tersebut berulang semula. Sampai satu tahap, beliau berasa sangat gatal dengan bau yang betul-betul tidak menyenangkan. Sehinggakan isteri beliau menasihatkan untuk beliau pergi ke klinik untuk berkhatan.

Dengan berkhatan/bersunat, masalah yang beliau hadapi boleh diselesaikan.


Apa itu masalah keputihan pada lelaki dewasa?

Keputihan (smegma dalam Bahasa Inggeris) atau “palat” dalam sesetengah istilah Melayu adalah pengumpulan bahan yang dihasilkan dari minyak dan cecair yang dirembeskan oleh kelenjar¬† pada kawasan sekeliling glans penis bercampur dengan kulit mati.¬† Bahan ini boleh berkumpul dengan banyak di bawah kulit kulup lelaki yang tidak bersunat/berkhatan dan juga pada kawasan lipatan labia pada wanita.

Ia bukan satu gejala jangkitan kuman dari perhubungan seksual dan ia bukanlan satu satu keadaan yang serius. Dalam kebanyakan kes, penjagaan kebersihan kawasan kemaluan yang betul dan kerap boleh menghalang smegma ini menganggu aktiviti harian seorang lelaki.

Namun jika ia tidak dirawat, smegma ini boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan dan pada segelintir lelaki, smegma ini boleh mengental dan mengeras lalu menyebabkan iritasi dan keradangan pada kawasan kemaluan. Pada sesetengah keadaan, kulit kulup boleh melekat dengan glans penis akibat keradangan tersebut.

Jika masalah smegma ini berterusan untuk satu jangkamasa yang lama dan ditambah pula dengan jangkitan bakteria atau yis, ia boleh menyebabkan keradangan kulit kulup dan glans penis berlaku. Keadaan ini dipanggil “balanitis” yang mana dengan berkhatan/bersunat adalah salah satu cara penyelesaiannya.

Hubungi kami di 010-9314190 untuk maklumat lanjut tentang bersunat/berkhatan untuk lelaki dewasa.

Kenapa saya tidak buat sunat untuk budak berumur 6 tahun dan ke bawah?

Waktu cuti sekolah akhir tahun yang lepas, ada ramai ibu bapa yang ingin anak-anak mereka yang berumur 6 tahun ke bawah disunatkan di SunatHome. Pada asasnya saya tidak menerima kanak-kanak yang berumur di bawah 6 tahun untuk bersunat. Namun, setelah didesak oleh ibu bapa, saya terpaksa menerima kanak-kanak tersebut untuk bersunat, walaupun setelah saya terangkan semua risiko yang terlibat. Dan, seperti yang telah saya terangkan kepada mereka, hampir kesemua kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa ini, gagal disunatkan.

Antara sebab kenapa kanak-kanak pada umur di bawah 6 tahun sukar disunatkan ialah tiada kerjasama dari kanak-kanak tersebut sewaktu prosedur dijalankan. Mereka tidak dapat berbaring dengan tenang dan diam. Mereka sangat mudah untuk menangis dan menjerit ketika suntikan diberikan. Mereka juga akan mudah meronta-ronta, walaupun ada ibu bapa di sisi. Malah ada juga kanak-kanak yang menendang, menumbuk dan mengigit saya ketika prosedur sunat ingin dijalankan.

Jika dipaksa juga untuk disunatkan, ada risiko besar yang boleh menyebabkan kecederaan pada kawasan kemaluan, yang mana ia adalah satu risiko yang saya ingin elakkan. Selain kecederaan serius, pendarahan yang banyak juga boleh berlaku sewaktu prosedur dijalankan. Ini akan menyebabkan luka menjadi lambat untuk sembuh dan jangkitan boleh berlaku.

Jika sunat berjaya dilakukan dengan paksaan (mungkin ada pembantu yang ramai boleh memegang pesakit dari bergerak), ada kemungkinan juga proses penyembuhan akan mengambil masa yang lebih lama kerana kanak-kanak ini akan tidak mahu luka disentuh atau dibersihkan oleh ibu bapa di rumah. Ini boleh menyebabkan luka bertambah teruk dan yang paling serius ialah jika berlaku jangkitan kuman.

Jadi adalah lebih selamat dan bagus sekiranya kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah tidak dibawa bersunat atas faktor keselamatan. Julat umur yang bagus untuk disunatkan ialah pada umur 8-10 tahun (di Malaysia), yang mana pada umur sebegini, kanak-kanak boleh mendengar dan mengikuti arahan supaya bertenang sewaktu bersunat. Mereka juga sudah lebih berani dan boleh memberikan kerjasama yang bagus ketika bersunat.

Jika anda ingin anak-anak anda disunatkan lebih awal, saya sarankan untuk kanak-kanak lelaki disunatkan pada umur di bawah 3 bulan (sewaktu bayi), dan ia dilakukan di hospital oleh pakar bedah kanak-kanak.

Hubungi kami di 010-9314190 untuk maklumat lanjut tentang sunat/khatan untuk lelaki dewasa dan kanak-kanak menggunakan teknik electrocautery laser.