3 Perkara yang perlu diberi perhatian, 24 jam selepas bersunat/berkhatan

Selalunya selepas prosedur bersunat/berkhatan selesai, doktor akan membekalkan ubat-ubatan yang diperlukan untuk dibawa balik ke rumah. Ubat-ubat tersebut boleh terus dimakan untuk memberikan keselesaan kepada anda daripada rasa sakit dan untuk mengelakkan luka dari dijangkiti kuman.

24 jam pertama selepas bersunat adalah tempoh yang penting untuk anda berehat. Ini kerana dengan berehat, luka sunat akan lebih cepat untuk membaikpulih. Jika anda kurang berehat, banyak berjalan atau melakukan aktiviti yang berat, ia boleh menyebabkan penyembuhan luka terganggu.

Jika dalam tempoh 24 jam selepas bersunat, 3 perkara ini berlaku, cepat-cepat hubungi kembali tempat yang mana anda bersunat.

1. Pendarahan yang banyak (Excessive bleeding)

Selepas bersunat, doktor akan membalut luka dengan gauze untuk melindungi luka dan menyerap titisan darah yang masih ada pada kulit yang dipotong. Selalunya darah yang menitis adalah sangat sedikit dan akan berhenti keluar dalam tempoh 24 jam.

Sekiranya masih ada sedikit darah yang keluar, sila ambil tisu kering atau tuala kecil yang bersih dan tekan pada tempat pendarahan untuk 3-5 minit. Selalunya pendarahan kecil akan berhenti dengan teknik “compression” ini.

Sekiranya selepas 24 jam darah masih mengalir, gauze pembalut menjadi basah oleh darah tersebut dan nampaknya tidak berhenti dengan sendiri, adalah lebih baik untuk anda berjumpa dengan doktor yang melakukan sunat tersebut.

2. Pembengkakan / Swelling / Hematoma / Bentan (istilah Melayu)

Selalunya selepas bersunat, kawasan luka sunat boleh membengkak sedikit akibat daripada suntikan bius yang diberi pada kawasan luka ataupun pembuluh darah yang pecah di bawah kulit (hematoma) yang tidak menyebabkan pengaliran darah keluar dari luka.

Sekiranya dalam tempoh 24 jam, pembengkakan ini dilihat semakin besar dan terasa sangat sakit apabila disentuh, ada kemungkinan pendarahan berlaku di bawah kulit dengan banyak. Sila berjumpa dengan doktor merawat untuk “evacuate” darah beku dari bawah lapisan kulit dan memberhentikan pembuluh darah yang menyebabkan pendarahan ini.

3. Sakit berdenyut-denyut (throbbing pain)

Kadang-kala selepas bersunat, luka sunat tidak membengkak dan tidak juga nampak ada pendarahan, tetapi terasa sakit berdenyut-denyut. Ia boleh menyebabkan anda tidak boleh tidur malam. Apa yang mungkin berlaku ialah pendarahan dalaman yang jauh di bawah kulit pada kawasan luka tanpa menyebabkan pengaliran darah keluar melalui luka yang dijahit.

Sekiranya anda berasa ada benjolan keras timbul pada kawasan atas atau bawah luka dan sakit berdenyut-denyut itu adalah pada benjolan tersebut, ia mungkin disebabkan pendarahan dalaman.

Sakit berdenyut-denyut tanpa ada pembengkakan atau pendarahan mungkin juga boleh disebabkan oleh jangkitan kuman pada luka. Luka nampak merah, bengkak dan sakit bila dipegang. Ia adalah jarang berlaku kerana selalunya doktor yang melakukan sunat akan memberikan ubat tahan sakit, antibiotik dan ubat kurangkan bengkak yang akan mengurangkan risiko untuk mendapat jangkitan kuman.

Sila berjumpa semula dengan doktor jika sakit berdenyut-denyut berterusan lebih 24 jam.

Hubungi kami di 010-9314190 untuk maklumat lanjut mengenai sunat lelaki dewasa dan kanak-kanak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.