Berapa lamakah tempoh penyembuhan luka sunat?

Tempoh penyembuhan luka sunat agak berbeza di antara kanak-kanak dan lelaki dewasa. Oleh kerana kulit kanak-kanak masih lagi nipis dan salur darah yang kecil, tempoh penyembuhan luka sunat untuk kanak-kanak lelaki adalah lebih cepat berbanding dewasa.

Selalunya luka akan kering selepas satu hari bersunat, dan kebanyakan kanak-kanak boleh memakai seluar seperti biasa. Namun begitu, ramai juga ibu bapa yang selesa dengan anak-anak lelaki mereka memakai kain pelikat sahaja selepas sunat untuk beberapa hari. Luka selalunya sembuh sepenuhnya antara 1-2 minggu.

Untuk lelaki dewasa, luka sunat akan mengambil masa lebih panjang untuk sembuh, iaitu dari 4 hingga 6 minggu. Selepas sunat, luka mungkin mengambil masa 3-5 hari untuk kering dan selalunya pada waktu ini, mereka boleh bekerja ringan seperti biasa. Waktu ini tidak digalakkan untuk membuat kerja berat seperti mengangkat barang yang berat, bersukan atau berdiri terlalu lama kerana ia boleh menyebabkan luka sunat menjadi bengkak dan berdarah.

Pakai seluar yang longgar dan elakkan dari memakai seluar yang ketat seperti jeans kerana ia tidak selesa untuk luka sunat. Bolej juga gunakan seluar dalam khas untuk sunat jika ada. Ia akan membantu melindungi luka sunat dari sentuhan atau tekanan dari seluar dalam yang dipakai. Kain pelikat adalah pakaian terbaik untuk lelaki yang bersunat.

Oleh kerana benang jahitan yang digunakan ialah jenis “absorbable” atau larut di dalam kulit/diserap oleh badan, jahitan tidak perlu dibuka. Selalunya jahitan akan putus sendiri selepas 10-14 hari, dengan syarat luka dijaga dengan bersih dan kering.

Jika ada jangkitan, luka sunat boleh mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh dan jahitan boleh terbuka lebih awal. Jika ini berlaku, ada kemungkinan luka terpaksa dijahit semula untuk mengelakkan jangkitan kuman dan mengelakkan dari luka menjadi buruk (tidak cantik dari segi kosmetik).

Sila ikut arahan doktor untuk ubat-ubatan yang diberi. Selalunya doktor akan beri ubat untuk kegunaan luaran (pada luka) dan ubat untuk dimakan. Ini boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka sunat.

Ada juga pesakit yang bertanya, bilakah mereka boleh melakukan seks dengan pasangan. Selalunya saya nasihatkan untuk berikan masa sehingga 6 minggu sebelum hubungan seks dilakukan, kerana selalunya selepas 6 minggu, luka sudah sembuh sepenuhnya. Jika masih tidak selesa, boleh gunakan kondom.

Makanlah makanan yang berkhasiat, kurangkan merokok dan minuman beralkohol. Ia amat membantu di dalam proses penyembuhan luka kulit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.