Bahana bersunat sendiri: D-I-Y (do it yourself) circumcision

Seorang lelaki dari Nanning, China, telah dikejarkan ke hospital selepas beliau mencuba untuk menyunat dirinya sendiri, akhbar harian memberitahu.

Lelaki berumur 25 tahun itu yang merasakan kulit kulupnya yang terlalu panjang, membuat keputusan untuk menyunat dirinya sendiri kerana beliau terlalu malu untuk mendapatkan nasihat perubatan.

Beliau membeli alatan sunat tersebut dari atas talian (online) dan cuba untuk melakukan “pembedahan” dengan membaca langkah-langkah prosedur dari internet. Dia akhirnya terpaksa menjalani pembedahan kecemasan di hospital.

Adalah tidak pelik untuk kita mendengar cerita sebegini rupa, apabila banyak alatan bersunat sendiri (DIY circumcision) dijual di atas talian. Anda boleh sahaja beli alatan tersebut untuk bersunat sendiri dengan mengikuti langkah-langkah yang telah digariskan di internet, namun, ada beberapa isu yang perlu diketahui sebelum anda melakukan tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri.

Inilah 5 perkara yang anda perlu tahu sebelum melakukan sunat ke atas diri sendiri!

1. Isu keselamatan alatan tersebut

Sebenarnya, alatan untuk bersunat yang dijual di internet adalah untuk digunakan oleh pengamal perubatan yang bertauliah dan mempunyai latihan dan ilmu yang cukup untuk melakukan prosedur seperti ini (doktor, pembantu perubatan dan jururawat). Mereka sudah cukup ilmu dan latihan untuk memastikan prosedur sunat dijalankan dengan bersih dan selamat. Jika anda tidak mempunyai ilmu dan latihan yang cukup, adalah dikhuatiri proses “pembedahan” sendiri yang anda jalankan mungkin tidak selamat (tersilap kepit atau tersilap tanda), ada kemungkinan anda perlu bergegas ke jabatan kecemasan di hospital untuk rawatan lanjut.

2. Isu jangkitan kuman

Sebelum prosedur sunat dijalankan oleh pengamal perubatan yang sah, kawasan kemaluan lelaki perlu dibersihkan dan disterilkan daripada kuman. Antiseptik yang kuat seperti iodin atau chlorhexidine akan digunakan untuk memastikan kawasan sunat bersih dan bebas dari kuman. Sekiranya anda melakukan sunat sendirian tanpa ilmu, ada kemungkinan kawasan kemaluan anda tidak dapat dibersihkan dengan sempurna, terutama sekali pada kawasan di dalam kulit kulup. Jika prosedur sunat dapat dijalankan pun, ada kemungkinan kawasa kulup yang tidak bersih boleh menyebabkan luka sunat dijangkiti kuman. Jangkitan kuman boleh menyebabkan luka tidak dapat sembuh dengan sempurna dan perlukan masa yang lebih lama untuk sembuh.

3. Isu rawatan susulan

Ok, katakanlah anda berjaya bersunat dengan sendiri, selepas mengikuti semua langkah-langkah keselamatan dan kebersihan yang disarankan. Kebanyakan alatan sunat yang boleh dipasang sendiri ini perlu dibuka selepas seminggu, dan proses penyembuhan luka diharapkan dapat berlaku dengan baik selepas itu. Namun, ada segelintir pesakit yang mana kulit luka sunat tersebut tidak dapat melekat dan sembuh dengan baik, lalu menyebabkan luka terbuka (wound dehiscence). Jika pesakit tidak sedar yang luka tersebut terbuka, ada risiko untuk beliau mengalami jangkitan kuman. Rawatan susulan selepas prosedur sunat adalah penting untuk doktor mengenalpasti kes begini supaya dapat diberikan rawatan yang betul.

4. Isu kos rawatan

Sebenarnya kos bersunat untuk lelaki dewasa adalah berpatutan, walau di mana pun anda lakukannya. Kebanyakannya dilakukan di klinik atau hospital swasta, yang mana anda membayar untuk perkhidmatan yang mereka sediakan, termasuk bilik yang sesuai, kepakaran doktor yang melakukan sunat, ubat-ubatan yang diperlukan dan rawatan susulan. Memanglah kos sunat DIY dengan alatan yang dibeli dari ebay agak murah (Shang ring dan Prepex ada yang berharga dalam lingkungan USD20), namun anda tidak membayar untuk kepakaran orang yang betul-betul pandai melakukannya. Anda mungkin terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi sekiranya prosedur sunat yang anda buat sendiri tidak berjalan seperti yang anda rancangkan.

5. Isu ubat bius setempat

Prosedur sunat selalunya perlukan suntikan ubat bius setempat diberikan pada kawasan pangkal batang zakar untuk memudahkan prosedur dijalankan. Ini kerana proses pemotongan kulit kulup akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat, dan mungkin tidak boleh ditahan oleh pesakit. Alatan seperti Prepex memerlukan ubat bius topikal yang boleh disapu pada kawasan kulup, namun anda perlukan preskripsi doktor untuk mendapatkan ubat bius tersebut dari farmasi. Oleh kerana anda tidak pasti dengan dos ubat tersebut, anda mungkin akan menggunakan terlampau banyak atau terlampau sedikit ubat bius topikal tersebut. Ini akan menyebabkan ketidakselesaan anda mengawal kesakitan dari prosedur yang anda lakukan sendiri.

Jadi kesimpulannya, adalah lebih selamat dan bagus anda bersunat dengan orang yang mempunyai kepakaran yang betul dalam bidang sunat, berbanding dengan mencuba untuk melakukannya sendiri di rumah!

 

Pakej ubat-ubatan untuk penjagaan luka selepas bersunat

Selepas bersunat, doktor akan memberikan ubat-ubatan untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka dan mengelakkan dari luka dijangkiti kuman. Ubat-ubatan yang diberi boleh terus diambil sejurus selepas bersunat, terutamanya ubat penahan sakit kerana ubat bius yang diberi sewaktu prosedur sunat dijalankan hanya boleh bertahan untuk 1-2 jam sahaja. Selepas tempoh tersebut, anda akan berasa sakit daripada luka electrocautery laser pada keliling batang zakar.

Di sini saya ingin kongsikan ubat-ubatan yang akan diberi untuk makluman dan kemudahan anda.

1. Cecair pencuci luka, Chlorhexidine solution 0.4%, 60ml

Cecair pencuci luka ini perlu digunakan selepas mandi untuk mencuci luka sunat. Celupkan kapas yang diberi bersama-sama dengan cecair tersebut dan lapkan luka sunat dengan kapas yang dibasahi Chlorhexidine. Ini bertujuan untuk mencuci luka dari kuman yang ada pada kawasan luka. Selepas mencuci, lapkan kawasan luka dengan kain bersih dan kering atau tisu kering. Lakukan dua kali sehari selepas mandi.

2. Kapas

Kapas perlu digunakan dengan cecair Chlorhexidine 0.4% untuk mencuci luka. Basahkan kapas dengan cecair tersebut sebelum digunakan untuk mencuci luka. Jangan gunakan kapas yang kering untuk mengelap atau mencuci luka. Ini akan menyebabkan kapas melekat pada kawasan luka.

3. Krim antibiotik, Neomycin cream 5 gram

Krim antibiotik ini berfungsi untuk membunuh kuman dan mengelakkan luka dari dijangkiti kuman. Ini kerana kuman boleh masuk ke dalam luka melalui kulit yang dipotong dan menyebabkan jangkitan. Jangkitan boleh melambatkan proses penyembuhan luka dan menyebabkan luka tidak dapat bercantum dengan baik sepenuhnya. Sapukan dua kali sehari pada luka selepas mandi dan cuci kawasan luka dengan cecair Chlorhexidine 0.4%. Luka tidak perlu dibalut selepas ubat disapu. Ini kerana kita mahukan kawasan luka tersebut kering. Jika dibalut, luka akan menjadi lembab dan lambat kering.

4. Ubat kurangkan bengkak, T. Papain, 10 biji

Ubat ini boleh dikunyah untuk mengurangkan bengkak pada kawasan kulit luka sunat. Ini kerana, selepas bersunat, kawasan luka mudah bengkak disebabkan oleh prosedur sunat itu sendiri, atau jika anda berjalan banyak, ia juga boleh bengkak. Makan ubat ini 3 kali sehari selepas makan.

5. Ubat penahan sakit untuk kanak-kanak, T. Paracetamol 500mg, 10 biji

Ubat Paracetamol ialah sebenarnya Panadol yang biasa kita boleh dapat dari kedai-kedai ubat dan farmasi. Untuk ubat penahan sakit bagi kanak-kanak, saya lebih suka beri mereka Paracetamol. Makan ubat ini 3 kali sehari selepas makan.

6. Ubat penahan sakit untuk dewasa, T. Diclofenac Sodium 50mg, 10 biji

Ubat Diclofenac ini diberikan kepada orang dewasa lelaki selepas bersunat, kerana keupayaannya untuk memberikan kelegaan daripada sakit pada kawasan luka sunat lebih kuat berbanding Paracetamol. Makan ubat ini 3 kali sehari selepas makan.

7. Ubat antibiotik (pembunuh kuman), T. Amoxycillin 250mg atau 500mg, 10 biji

Ubat Amoxycillin ini berfungsi membunuh kuman yang ada pada kawasan kulit luka, sekaligus mengurangkan risiko luka untuk kena jangkitan. Untuk kanak-kanak, dosnya ialah 250mg dan untuk dewasa dosnya ialah 500mg. Sekiranya anda mempunyai alergik kepada antibiotik kumpulan penisilin, sila maklumkan kepada kami, kerana anda tidak boleh ambil Amoxycillin ini sebagai antibiotik. Anda akan diberi Erythromycin. Makan ubat 3 kali sehari selepas makan.

Mau bersunat dengan teknik laser yang cepat dan bersih? Hubungi kami di 010-931 4190.

 

3 Persediaan Sebelum Bersunat dengan Sunat Home

Hampir setiap kali appoinment untuk bersunat dibuat, akan ada soalan-soalan lazim yang biasanya akan ditanya oleh klien Sunathome, tentang persediaan sebelum datang untuk bersunat.

Di sini saya ingin kongsikan ilustrasi ringkas dan mudah untuk semua kaum lelaki dewasa dan kanak-kanak yang ingin datang bersunat dengan Sunathome:

  1. JANGAN MINUM ALKOHOL, SEKURANG-KURANGNYA 24 JAM SEBELUM BERSUNAT. IA AKAN MENGGANGGU UBAT-UBATAN YANG AKAN DIBERI.
  2. CUKUR ATAU GUNTING BULU PADA KAWASAN KEMALUAN UNTUK MEMUDAHKAN PENJAGAAN KEBERSIHAN KAWASAN LUKA.
  3. PAKAI SELUAR YANG LONGGAR SEPERTI SELUAR TREK ATAU BERMUDA SEMASA DATANG UNTUK BERSUNAT UNTUK KESELESAAN.

Hubungi kami di 010-9314190 untuk bersunat dengan selamat dan selesa.

Kemalangan bersunat adalah “jarang dan malang” – Doktor

Dialih bahasa dari bahasa Inggeris, keratan akhbar Daily Express (Sabah), 4 Januari 2017.

Para doktor menegaskan bahawa prosedur berkhatan yang sedia ada adalah selamat dan kedua-dua pembedahan yang gagal (botched) di Semenanjung adalah kejadian “kemalangan yang jarang berlaku tetapi serius”.

Mereka berkata kejadian yang berlaku memberikan peringatan bahawa adalah penting bagi para doktor untuk mengambil langkah berjaga-jaga apabila perlu melaksanakan apa juga jenis pembedahan walaupun kebimbangan tentang keselamatan semakin meningkat dan kredibiliti mereka yang terlibat dalam pembedahan tersebut.

Doktor dari Permai Klinik Tanjung Aru Mudzakir Kholil berkata langkah-langkah keselamatan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana doktor kerana satu kesilapan yang sedikit boleh memberikan kesan pesakit seumur hidup.

Walaupun beliau menegaskan yang prosedur sekarang adalah “sangat, sangat selamat”, adalah lebih baik untuk kita semak kembali perkara-perkara penting apabila melakukan pembedahan.

“Kedua-dua kes kemungkinan boleh jadi satu kemalangan yang boleh dielakkan apabila doktor berhenti mengambil mudah perkara ini walaupun mereka sibuk dan mempunyai pegalaman yang luas,” katanya.

Dr Mudzakir yang telah melakukan ribuan sunat dalam tempoh 25 tahun lepas dan telah berpindah daripada prosedur klamp kepada laser sunat (electrocautery), jarang melihat pesakitnya menghadapi komplikasi serius sebelum ini.

“Dalam berkhatan laser, pembedahan hanya mengambil masa beberapa minit untuk disiapkan dan ia mengambil masa sehingga lima hari untuk kulit yang disunat kering. Dalam beberapa pembedahan lain, tiada setitis darah pun.”

Prosedur ini melibatkan membius dan memotong kulit kulup, dengan memastikan kedudukan kepala zakar jauh dari kawasan yang dipotong dan ini akan membolehkan doktor untuk melihat serta-merta apabila kesilapan potongan berlaku kerana pesakit juga akan menjerit, ” katanya.

Kedua-dua kes berkenaan melibatkan dua kanak-kanak lelaki – yang berusia sembilan tahun dan sepuluh tahun – yang mana kepala zakar telah terpotong dalam pembedahan berasingan di Semenanjung Malaysia.

Kementerian Kesihatan telah memulakan siasatan ke atas kedua-dua kes yang berlaku pada Disember lalu dan merujuk kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang mengeluarkan amaran tegas terhadap pengamal dan profesional yang melakukan sunat tanpa latihan yang diperlukan.

Kanak-kanak lelaki tersebut dikatakan semakin bertambah baik berikutan pembedahan di Hospital Kuala Lumpur dan kini boleh membuang air kecil seperti biasa. Sementara itu, doktor dari Klinik dan Surgeri Medisinar di Pusat Api Api, Dr Kailanathan C. berkata berkhatan adalah prosedur mudah dan komplikasi serius jarang berlaku kepada pesakit, kecuali pendarahan berlebihan dalam keadaan tertentu.

Sambil menyifatkan kejadian tersebut sebagai serius dan malang, beliau berkata tidak ada ruang untuk kecuaian bagi mereka menjalankan prosedur itu. “Berkhatan adalah tentang kebersihan kerana kawasan kulup cenderung untuk menjadi tempat pembiakan bakteria dan kulat dan dengan membuang kulup, ia akan mengurangkan jangkitan kepada orang lain,” katanya.

Sebaliknya, Dr Muzakir berkata, kita perlu mengambil kira berkhatan sebagai bukan sahaja untuk mendapatkan bahagian kemaluan yang bersih tetapi juga membendung penyakit seksual. Berkhatan di klinik swasta adalah antara RM80 dan RM250 dan lebih murah di kemudahan kesihatan kerajaan.

7 CARA MENJAGA “BARANG” ANDA DALAM KESIHATAN TERBAIK

Berikut adalah tujuh cara untuk menjaga “barang” anda agar berfungsi dengan baik:

1. MENGEKALKAN BERAT BADAN YANG SIHAT

Kegemukan boleh mencuri ciri kelelakian anda dan boleh mengurangkan tahap testosteron dalam badan. Lemak di bahagian abdomen menukarkan testosteron hormon lelaki anda untuk estrogen hormon wanita. Anda juga lebih cenderung untuk mempunyai plak lemak yang boleh menyumbat saluran darah anda, termasuk arteri ke zakar, menjadikannya lebih sukar untuk mendapatkan dan mengekalkan ereksi yang baik.

2. MAKAN DENGAN BERHEMAH

Makanan yang sihat dan semula jadi mencegah pengumpulan deposit plak berbahaya dalam saluran darah anda yang boleh mengganggu aliran darah ke zakar. Pilihan pemakanan yang tidak sihat dengan makanan yang sarat dengan kalori dan tidak berkhasiat boleh menyebabkan arteri tersumbat dan boleh memberi kesan fungsi seksual.

3. KURANGKAN STRESS

Tekanan menyebabkan pengeluaran hormon adrenalin dan kortisol. Adrenalin menyempitkan saluran darah, yang mengganggu kesan ereksi. Jika anda pernah mengalami “performance anxiety” ia adalah kerana pembebasan adrenalin akibat tindak balas kepada darah gemuruh. Rembesan kortisol yang berlebihan, yang membantu merangsang selera anda, boleh menyebabkan pengumpulan lemak perut yang tidak baik.

4. HAPUSKAN TEMBAKAU

Jaga “barang” anda dengan baik!

Selain menyebabkan kanser, tembakau menyempitkan saluran darah, merosakkan aliran darah, mengurangkan bekalan oksigen, dan juga menggalakkan keradangan, menjejaskan setiap organ dalam badan anda.

5. KURANGKAN ALKOHOL

Dalam jumlah yang kecil, alkohol boleh mengurangkan kebimbangan dan bertindak sebagai vasodilator (meningkatkan aliran darah) dan benar-benar boleh meningkatkan fungsi erektil, tetapi dalam jumlah yang besar ia boleh menjadi faktor risiko utama untuk disfungsi erektil (mati pucuk).

6. TIDUR YANG CUKUP

Tidur mempunyai fungsi pemulihan yang penting kerana otak anda dan badan memerlukan masa rehat yang cukup. Kurang tidur menyebabkan gangguan endokrin, metabolik, dan fungsi imun, menyebabkan tahap leptin menurun (penahan selera anda), meningkatkan tahap ghrelin (perangsang selera anda), meningkat kortisol, dan meningkatkan paras glukosa (jumlah yang lebih tinggi gula dalam aliran darah ). Jika anda sedang letih, zakar anda akan menjadi letih juga.

7. BERSENAM

Senaman mempunyai kesan yang luar biasa pada fungsi seksual. Ia mengurangkan tekanan, meningkatkan mood, mencegah keletihan dan meningkatkan tenaga. Untuk jangka panjang, ia akan mengurangkan risiko anda untuk penyakit kencing manis, penyakit jantung, strok, tekanan darah tinggi, beberapa jenis kanser, osteoporosis, masalah perubatan yang kronik dan kecacatan fizikal. Bersenam membuatkan jantung anda mengepam dengan lebih baik dan kuat, saluran darah anda lebih anjal, dan otot anda lebih baik dalam penggunaan oksigen. Latihan senaman yang melibatkan otot seks-otot teras, pemutar luar pinggul, dan semua otot lantai pelvik-akan meningkatkan prestasi anda.

Program Jom Berkhatan 4, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu 2014

Pada hari Sabtu yang lalu, 13 Disember 2014 telah berlangsung Program Jom Berkhatan Siri ke-4 Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Seramai 23 orang kanak-kanak dalam lingkungan umur 7-13 tahun telah berjaya dikhatankan oleh 3 orang doktor termasuk saya sendiri. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar, dan kami berjaya menyelesaikan semua kanak-kanak menjelang waktu Zohor.

Program berkhatan beramai-ramai bersama Rumah Darul Bakti, Kota Belud

Pada bulan Mac 2013 yang lepas, kami telah berangkat ke Rumah Anak-anak Yatim Darul Bakti, Kota Belud untuk melaksanakan program berkhatan beramai-ramai, anjuran Klinik Sabah dan Dr. Ruhaizad sendiri. Seramai 9 orang anak-anak telah selamat dikhatankan dalam tempoh masa yang singkat (3 jam sahaja) pada hari Ahad, 24 Mac 2013.

Di sini kami ingin kongsikan gambar-gambar sekitar program tersebut yang telah diambil oleh kakitangan rumah anak-anak yatim tersebut. Sekiranya pihak tuan/puan yang mewakili organisasi serupa, kami juga boleh menguruskan program khatan berkumpulan di tempat tuan/puan.