Review: Cautertech Penshaped-SS dari Azzamediserve Ent

Bulan lepas alat Flashcutter yang saya gunakan untuk buat sunat guna electrocautery laser selama lebih 3 tahun menemui ajalnya. Entah kenapa tiba-tiba satu pagi tu bila saya hidupkan, lampu LED yang sepatutnya menunjukkan ia berfungsi, tidak menyala. Ngam-ngam pula masa tu saya baru nak mulakan hari di klinik dengan mengkhatankan seorang budak berumur 12 tahun. Saya panik sekejap, sebab budak tu dah pun terbaring dan bersedia di atas katil, sambil saya masih terkial-kial cuba menghidupkan Flashcutter tu.

Apabila semua percubaan untuk menghidupkan alat tersebut gagal, terpaksalah saya gunakan teknik lama “dorsal-slit” untuk buat sunat/khatan. Mujur juga dia berbadan kecil dan zakarnya masih bersaiz kanak-kanak. Kalau orang dewasa, ia mungkin satu prosedur yang akan mengambil masa yang lama. Kulitnya yang masih nipis dan kurang salur darah yang besar betul-betul memudahkan saya untuk melakukan sunat tanpa ada komplikasi yang besar.

Selepas sunat siap, saya menerangkan kepada ayahnya tentang apa yang berlaku dan beliau faham. Beliau perlu menukar balutan pada luka untuk beberapa hari disebabkan sunat dengan cara “dorsal-slit” ini membuatkan luka menjadi kering lebih lambat. Saya selalunya tidak membuat balutan pada luka sunat kanak-kanak yang menggunakan Flashcutter kerana luka cepat kering.

Oleh sebab ada sedikit kesukaran untuk saya menghubungi supplier Flashcutter dengan niat untuk memperbaikinya, (tempoh warrantynya juga sudah luput) saya terpaksa mencari supplier lain yang boleh membekalkan alat electrocautery laser yang baru dengan cepat. Saya memilih untuk mendapatkan alat Cautertech Penshaped-SS electrocautery device keluaran Azzamediserve Enterprise dari Muar, Johor selepas setahun follow facebook page mereka.

Selepas lebih kurang seminggu menggunakan Cautertech ini ke atas beberapa orang klien sunat/khatan dewasa, saya amat berpuas hati dengan prestasi alat ini. Di sini saya ingin kongsikan review alat tersebut supaya anda boleh tahu kebaikan dan aspek yang boleh diperbaiki. Mungkin dengan adanya review ini, pihak Azzamediserve boleh melakukan penambahbaikan kepada alat cautery mereka.

Pek bateri

Kecil dan ringan. Batteri terletak di dalam pemegang yang berbentuk silinder. Oleh kerana saiz bateri yang kecil berbanding Flashcutter yang saya gunakan sebelum ini, kuasa penyimpanan caj juga adalah lebih kecil. Mengikut apa yang diberitahu, dengan sekali caj, ia dapat digunakan untuk buat sunat sehingga 20 orang kanak-kanak. Amat sesuai untuk “clinic settings” dan sunat “home visit”, tapi mungkin kurang sesuai jika diguna sewaktu event besar yang lebih dari 20 orang atau di tempat pedalaman yang jauh dan tiada bekalan elektrik (tak pelik sebab saya tinggal di Sabah).  Mungkin perlu dicaj lebih dari sekali sewaktu program sunat dijalankan, dan mungkin juga perlu bawa “power bank” yang mempunyai kuasa yang besar untuk mengecaj.

Cautertech ini menggunakan micro-usb charger yang biasa untuk telefon bimbit dan smartphone. Ini amat memudahkan kita untuk mengecajnya, kerana kita boleh gunakan pengecaj telefon bimbit yang biasa digunakan.

Handle (pemegang)

Berbentuk silinder dan sedikit berat berbanding flashcutter kerana bateri terletak pada handle. Walaupun saiz bateri lebih kecil berbanding Flashcutter yang saya gunakan sebelum ini, pemegang agak sedikit besar untuk genggaman tangan orang yang kecil. Bentuk silindernya yang sedikit besar juga menyebabkan cara pemegangan handle tidak sekemas bentuk pistol Flashcutter. Oleh kerana ia sedikit berat dan punatnya perlu ditekan dengan ibu jari sewaktu menggunakannya, ia mudah bergoyang dan kurang stabil. Perlukan tangan yang kuat dan mungkin sokongan/sandaran untuk menstabilkannya apabila melakukan cautery.

Tip

Wayar tahan panas untuk pemotongan kulit agak pendek, yang mana sangat sesuai untuk kulit kulup kanak-kanak, namun untuk dewasa, kita perlu menggesek wayar tersebut beberapa kali untuk memotong kulit. Pen tip pendek untuk cautery yang digunakan untuk “burn” salur darah yang kecil agak sesuai bentuk dan saiznya, walaupun kadang-kadang tangan boleh bergegar sewaktu digunakan.

Mudah alih (portable)

Saiz yang kecil, mudah alih dan lebih ringan berbanding Flashcutter. Amat mudah untuk dibawa kemana-mana dan tidak perlukan beg yang besar.

Packaging & presentation

Didatangkan dengan bekas plastik kecil yang memuatkan beberapa bentuk tip, charger dan wayar. Bekas boleh memuatkan instrumen pembedahan untuk sunat, namun ruang adalah terhad.

Bentuk

Silinder yang mudah bergolek jika tidak diletakkan dengan betul. Mungkin perlukan bekas spesifik, diletakkan dalam tray atau kidney dish sewaktu prosedur sunat dijalankan.

Lampu indikator

Berkelip sewaktu dicaj. Lampu terang berterusan bila sudah penuh caj. Tempoh caj boleh mengambil masa hingga 2 jam untuk penuh. Sewaktu digunakan lampu tidak menyala. Lampu akan berkelip ketika caj sudah hampir habis.

After sales service?

Amat mudah untuk dihubungi, namun lojistik mungkin menjadi cabaran. Oleh kerana saya tinggal di Sabah dan tempat rujukan jika ada masalah berada di Muar, Johor, mungkin ada sedikit sukar dan lambat untuk proses pembaikan dilakukan.

Buat masa ini, prestasi alat electrocautery ini amat memberangsangkan. Ada banyak penambah baikan yang boleh dilakukan ke atas alatan ini dari segi kemasan akhir dan presentasi alat. Saya nampak potensi yang besar untuk pencipta dan pembuat alatan ini.

Adakah ia berbaloi dengan harga yang dibayar?

  • Ya!

Untuk siapa Cautertech ini ditujukan?

  • Pembantu Perubatan/Penolong Pegawai Perubatan/Dressar yang melakukan sunat/khatan
  • Doktor-doktor di klinik yang melakukan sunat
  • Juga untuk doktor-doktor yang melakukan pembedahan kecil pada kulit dan pembuangan ketuat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.