Seorang lelaki dari Nanning, China, telah dikejarkan ke hospital selepas beliau mencuba untuk menyunat dirinya sendiri, akhbar harian memberitahu.
Lelaki berumur 25 tahun itu yang merasakan kulit kulupnya yang terlalu panjang, membuat keputusan untuk menyunat dirinya sendiri kerana beliau terlalu malu untuk mendapatkan nasihat perubatan.
Beliau membeli alatan sunat tersebut dari atas talian (online) dan cuba untuk melakukan “pembedahan” dengan membaca langkah-langkah prosedur dari internet. Dia akhirnya terpaksa menjalani pembedahan kecemasan di hospital.
Adalah tidak pelik untuk kita mendengar cerita sebegini rupa, apabila banyak alatan bersunat sendiri (DIY circumcision) dijual di atas talian. Anda boleh sahaja beli alatan tersebut untuk bersunat sendiri dengan mengikuti langkah-langkah yang telah digariskan di internet, namun, ada beberapa isu yang perlu diketahui sebelum anda melakukan tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri.
Inilah 5 perkara yang anda perlu tahu sebelum melakukan sunat ke atas diri sendiri!
1. Isu keselamatan alatan tersebut
Sebenarnya, alatan untuk bersunat yang dijual di internet adalah untuk digunakan oleh pengamal perubatan yang bertauliah dan mempunyai latihan dan ilmu yang cukup untuk melakukan prosedur seperti ini (doktor, pembantu perubatan dan jururawat). Mereka sudah cukup ilmu dan latihan untuk memastikan prosedur sunat dijalankan dengan bersih dan selamat. Jika anda tidak mempunyai ilmu dan latihan yang cukup, adalah dikhuatiri proses “pembedahan” sendiri yang anda jalankan mungkin tidak selamat (tersilap kepit atau tersilap tanda), ada kemungkinan anda perlu bergegas ke jabatan kecemasan di hospital untuk rawatan lanjut.
2. Isu jangkitan kuman
Sebelum prosedur sunat dijalankan oleh pengamal perubatan yang sah, kawasan kemaluan lelaki perlu dibersihkan dan disterilkan daripada kuman. Antiseptik yang kuat seperti iodin atau chlorhexidine akan digunakan untuk memastikan kawasan sunat bersih dan bebas dari kuman. Sekiranya anda melakukan sunat sendirian tanpa ilmu, ada kemungkinan kawasan kemaluan anda tidak dapat dibersihkan dengan sempurna, terutama sekali pada kawasan di dalam kulit kulup. Jika prosedur sunat dapat dijalankan pun, ada kemungkinan kawasa kulup yang tidak bersih boleh menyebabkan luka sunat dijangkiti kuman. Jangkitan kuman boleh menyebabkan luka tidak dapat sembuh dengan sempurna dan perlukan masa yang lebih lama untuk sembuh.
3. Isu rawatan susulan
Ok, katakanlah anda berjaya bersunat dengan sendiri, selepas mengikuti semua langkah-langkah keselamatan dan kebersihan yang disarankan. Kebanyakan alatan sunat yang boleh dipasang sendiri ini perlu dibuka selepas seminggu, dan proses penyembuhan luka diharapkan dapat berlaku dengan baik selepas itu. Namun, ada segelintir pesakit yang mana kulit luka sunat tersebut tidak dapat melekat dan sembuh dengan baik, lalu menyebabkan luka terbuka (wound dehiscence). Jika pesakit tidak sedar yang luka tersebut terbuka, ada risiko untuk beliau mengalami jangkitan kuman. Rawatan susulan selepas prosedur sunat adalah penting untuk doktor mengenalpasti kes begini supaya dapat diberikan rawatan yang betul.
4. Isu kos rawatan
Sebenarnya kos bersunat untuk lelaki dewasa adalah berpatutan, walau di mana pun anda lakukannya. Kebanyakannya dilakukan di klinik atau hospital swasta, yang mana anda membayar untuk perkhidmatan yang mereka sediakan, termasuk bilik yang sesuai, kepakaran doktor yang melakukan sunat, ubat-ubatan yang diperlukan dan rawatan susulan. Memanglah kos sunat DIY dengan alatan yang dibeli dari ebay agak murah (Shang ring dan Prepex ada yang berharga dalam lingkungan USD20), namun anda tidak membayar untuk kepakaran orang yang betul-betul pandai melakukannya. Anda mungkin terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi sekiranya prosedur sunat yang anda buat sendiri tidak berjalan seperti yang anda rancangkan.
5. Isu ubat bius setempat
Prosedur sunat selalunya perlukan suntikan ubat bius setempat diberikan pada kawasan pangkal batang zakar untuk memudahkan prosedur dijalankan. Ini kerana proses pemotongan kulit kulup akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat, dan mungkin tidak boleh ditahan oleh pesakit. Alatan seperti Prepex memerlukan ubat bius topikal yang boleh disapu pada kawasan kulup, namun anda perlukan preskripsi doktor untuk mendapatkan ubat bius tersebut dari farmasi. Oleh kerana anda tidak pasti dengan dos ubat tersebut, anda mungkin akan menggunakan terlampau banyak atau terlampau sedikit ubat bius topikal tersebut. Ini akan menyebabkan ketidakselesaan anda mengawal kesakitan dari prosedur yang anda lakukan sendiri.
Jadi kesimpulannya, adalah lebih selamat dan bagus anda bersunat dengan orang yang mempunyai kepakaran yang betul dalam bidang sunat, berbanding dengan mencuba untuk melakukannya sendiri di rumah!