UPSR dah habis. Tak lama lagi, budak-budak sekolah rendah yang lain akan duduki peperiksaan akhir tahun. Insyaallah, akhir bulan November nanti, musim cuti sekolah akhir tahun 2017 akan bermula. Pada masa inilah ibu bapa akan mula tercari-cari tempat yang terbaik untuk anak-anak lelaki mereka BERSUNAT atau BERKHATAN.
Kalau dulu-dulu pada masa zaman ayah dan datuk kita, sunat dilakukan oleh Tok Mudim kampung. Zaman sekarang, Tok Mudim sudah tidak ramai. Kalau ada pun yang tinggal, mungkin sudah rabun dan tidak boleh nampak dengan jelas apa yang mau dipotong. Tangan pun mungkin sudah hilang “fine motor function” yang mana boleh menyebabkan kecederaan yang tidak diingini oleh ibu bapa. Mungkin juga ada pelapis muda yang mewarisi teknik bersunat ini, tetapi agak sukar dijumpai.
Sekarang Tok Mudim sudah digantikan dengan doktor dan dressar (pembantu perubatan) yang rata-rata sudah ada kepakaran dan pengalaman untuk menyunat murid-murid sekolah. Jika prosedur sunat ini dijalankan mengikut garis panduan yang betul, ia adalah satu prosedur yang cepat dan selamat.
Persoalannya sekarang, macam mana nak pilih tempat bersunat yang sesuai untuk anak anda? Apakah perkara-perkara yang anda sebagai ibu bapa perlu tahu sebelum memilih satu-satu tempat atau teknik yang akan digunakan untuk anak-anak anda?
Setelah melakukan sunat atau khatan untuk kanak-kanak lelaki selama lebih 7 tahun, saya ingin berkongsi pengalaman saya tentang bagaimana anda sebagai ibu bapa boleh membuat pilihan dan keputusan yang tebaik untuk anak anda bersunat. Saya sendiri mempunyai 3 orang anak lelaki, yang mana dua daripadanya telah saya sunatkan sendiri.
Di sini saya kongsikan 7 kriteria bagaimana nak pilih tempat untuk anak anda bersunat pada cuti hujung tahun nanti.
#1. Di manakah tempat bersunat?
Nak bawa pergi ke hospital? Klinik? Kerajaan atau swasta? Beramai-ramai di masjid? Atau balai raya? Selalunya bersunat di hospital dan klinik tidak ada banyak masalah, kerana semuanya telah tersedia di tempat tersebut. Suasana selalunya lebih tenang dan terurus. Jika di institusi kerajaan, pesakit mungkin ramai, tetapi kos adalah lebih murah. Bersunat di institusi swasta mungkin ada sedikit mahal, tetapi ia lebih selesa dan cepat. Sekiranya ada apa-apa berlaku dengan prosedur sunat, mereka boleh buat pelan kontingensi dengan cepat.
Berbeza dengan bersunat beramai-ramai di masjid atau balai raya. Ia boleh menjadi satu cabaran yang besar untuk ibu bapa. Ini kerana dengan kanak-kanak yang ramai datang untuk bersunat ditambah lagi dengan seluruh ahli keluarga dan kanak-kanak lain yang tidak terlibat datang menyibuk, ia boleh menimbulkan rasa gemuruh kanak-kanak tersebut. Keadaan boleh jadi lebih teruk sekiranya kanak-kanak pertama yang disunat menangis terjerit-jerit, yang mana boleh menyebabkan semua kanak-kanak lain yang sedang menunggu giliran ketakutan dan lari lintang pukang.
Jadi adalah lebih baik sekiranya anda sebagai ibu bapa tahu keadaan anak-anak anda. Jika dia seorang yang tenang dan mudah dipujuk, tidak kisahlah di mana pun anda bawa dia untuk bersunat. Namun jika anak anda seorang yang suka berdrama, penakut dan mudah menangis maka adalah lebih baik untuk bawa dia ke tempat bersunat yang lebih privasi.
Bersunat di rumah mungkin satu pilihan yang baik untuk kanak-kanak yang penakut. Cuba hubungi doktor atau dressar, sekiranya mereka boleh datang ke rumah dengan segala kelengkapan sunat. Dalam keadaan yang agak selesa di rumah sendiri, kanak-kanak ini mudah bekerjasama dan tidaklah berasa gemuruh semasa prosedur dilakukan.
#2. Siapakah yang akan menyunatkan anak anda?
Tak dinafikan, mungkin ada lagi segelintir golongan Tok Mudim yang masih melakukan sunat dengan menggunakan teknik lama, iaitu pisau lipat, buluh dan batang pisang, namun ia telah semakin ditelan zaman. Sekiranya anda memilih untuk anak anda disunat dengan Tok Mudim, pastikan yang beliau seorang yang berpengalaman. Cuba dapatkan maklumbalas dan testimoni dari ibu bapa yang pernah menghantar anak-anak mereka untuk bersunat dengan Tok Mudim tersebut.
Kebanyakan ibu bapa sekarang lebih selesa membawa anak-anak mereka ke klinik, tidak kira swasta atau kerajaan, yang mana sunat biasanya dilakukan oleh seorang doktor. Dressar (pembantu perubatan) selalunya membuat sunat di hospital melalui badan-badan kebajikan yang mana kebanyakan mereka telah mendapatkan latihan dan kepakaran sewaktu bertugas dengan institusi tersebut.
#3. Apakah teknik yang mereka gunakan?
Jika anda memilih untuk anak anda disunat dengan Tok Mudim, bersedialah yang mereka akan gunakan pisau lipat yang tajam dan bilah buluh. Teknik ini walaupun sudah semakin kurang diamalkan, ia masih selamat, dengan syarat Tok Mudim melakukan prosedur tersebut dalam keadaan “aseptic technique” yang betul. “Aseptic technique” adalah teknik standard pembersihan yang dilakukan untuk semua prosedur pembedahan yang memerlukan keadaan kawasan prosedur bebas kuman. Ini kerana, jika kulit kulup yang disunat tidak dibersihkan dengan betul, ada kebarangkalian yang luka sunat mudah dijangkiti kuman. Tambahan pula, teknik ini tidak menggunakan bius setempat dan luka tidak dijahit, yang mana kedua-dua ini boleh meninggikan risiko jangkitan.
Jika anda memilih untuk anak anda disunat cara biasa menggunakan gunting oleh doktor atau dressar, perlu diingat yang luka sunat perlu dijaga rapi sewaktu proses penyembuhan. Anda perlu menukar balutan pada luka jahitan anak anda setiap hari untuk beberapa hari sehingga luka betul-betul kering. Selalunya anak anda akan berasa sedikit sakit sewaktu balutan dibuka untuk dicuci bersih dan disapu ubat.
Jika anda memilih untuk anak anda bersunat dengan menggunakan klamp, anda perlu ingat yang klamp tersebut akan dipasang pada zakar anak anda untuk sekurang-kurangnya 5 hari dan ia perlu dibuka selepas 5 hari. Selepas klamp dibuka, proses penjagaan luka adalah serupa dengan prosedur sunat menggunakan gunting. Luka perlu dibalut dan balutan perlu ditukar setiap hari untuk beberapa hari. Jika luka didapati terbuka dan tidak lekat sempurna selepas klamp dibuka, ada kemungkinan luka tersebut perlu dijahit semula.
Jika anda memilih untuk anak anda bersunat menggunakan microcautery laser, penjagaan luka selepas sunat tidaklah sesukar 3 teknik di atas, kerana ia adalah satu prosedur yang paling efisien. Selepas bersunat, luka tak perlu dibalut dan anak-anak anda boleh memakai seluar pada hari kedua selepas sunat. Luka juga cepat kering dan sembuh.
Perlu diingat, walau apa pun prosedur sunat, luka sunat selalunya dijahit dengan sejenis benang yang akan larut di dalam isi dan akan tanggal sendiri selepas 10-14 hari. Jangan tarik benang lebih awal, kerana dikhuatiri luka tidak melekat sempurna.
#4. Bagaimana pula dengan rawatan susulan?
Selalunya jika anak anda bersunat di klinik atau hospital, rawatan susulan dilakukan hanya apabila ada masalah berlaku, contohnya pendarahan, bengkak yang teruk, kesakitan yang berterusan, jahitan terlepas atau jangkitan kuman. Dalam kebanyakan kes, anda memang tidak perlu bawa anak untuk kembali berjumpa dengan doktor atau dressar, kerana proses penyembuhan selalunya berlaku secara normal.
Jika anak anda bersunat menggunakan klamp, rawatan susulan adalah perlu kerana klamp yang dipasang perlu dibuka selepas sekurang-kurangnya 5 hari. Proses pembukaan klamp perlu dilakukan oleh doktor yang memasang, kerana dia perlu memeriksa luka sunat samada melekat dengan baik atau tidak. Perlu diingat, bersunat guna klamp tidak ada jahitan, namun jika luka terbuka dan masih tidak melekat sempurna, ia mungkin perlu dijahit.
Rawatan susulan untuk bersunat dengan Tok Mudim selalunya tidak ada. Ibu bapalah yang perlu setiap hari memantau, membersih dan menukar balutan pada luka, dengan harapan ia boleh sembuh tanpa ada komplikasi.
#5. Bagaimana pula dengan ubat-ubatan?
Jika anak anda bersunat dengan doktor atau dressar, tidak kira apa juga teknik yang digunakan, selalunya anak anda akan diberikan ubat penahan sakit, ubat untuk kurangkan bengkak dan antibiotik krim paling kurang. Ada sesetengah doktor memberi antibiotik untuk dimakan untuk mengelakkan jangkitan berlaku.
Namun jika anda memilih untuk anak anda bersunat dengan Tok Mudim, ubat yang mungkin anda boleh beri kepada anak anda ialah panadol biasa yang boleh dibeli dari farmasi, kerana kebanyakan Tok Mudim tidak boleh mendispens dan menyimpan ubat.
#6. Tempoh penyembuhan?
Selalunya, teknik sunat yang diamalkan oleh Tok Mudim akan mengambil masa yang paling lama untuk sembuh, kerana luka tidak dijahit. Ia memerlukan keupayaan kulit anak anda untuk sembuh dengan sendirinya. Balutan pada luka juga perlu ditukar setiap hari untuk mengelakkan jangkitan. Proses penyembuhan boleh mengambil masa sehingga sebulan.
Teknik sunat menggunakan gunting akan mengambil masa yang kedua terpanjang untuk sembuh. Ini kerana kulit yang digunting ada banyak pendarahan, dan ia perlu dijahit dengan rapi untuk memberhentikan darah dan merapatkan kulit yang telah dipotong. Anda perlu menukar balutan setiap hari untuk beberapa hari sehingga luka menjadi kering, dan selalunya ia mengambil masa 2-3 minggu untuk sembuh.
Teknik sunat mengguna klamp pula bergantung kepada keadaan luka selepas klamp dibuka. Jika luka melekat dengan baik, luka sunat akan kering selepas 1-2 minggu. Jika luka tidak melekat dengan baik dan perlukan jahitan semula untuk memperkemaskannya, 2-3 minggu adalah tempoh penymebuhan yang biasa.
Teknink sunat menggunakan microcautery laser mempunyai tempoh penyembuhan yang paling singkat, iaitu 3-5 hari. Ini kerana, luka tidak mengalami pendarahan selepas disunat dan ia mudah kering. Penjagaan luka juga amat mudah dan ringkas kerana ia tidak memerlukan balutan.
#7. Jika ada apa-apa berlaku, apa nak buat?
Jika anak anda bersunat dengan Tok Mudim dan ada pendarahan berlaku selepas bersunat, ada kemungkinan anda perlu ke klinik atau ke jabatan kecemasan hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Dalam kebanyakan kes, Tok Mudim tidak punyai kelengkapan yang khas untuk memberhentikan darah, memberi ubat bius setempat dan menjahit luka.
Jika anak anda bersunat dengan doktor atau dressar, anda boleh bawa anak anda kembali berjumpa dengan mereka sekiranya ada apa-apa berlaku selepas bersunat. Mereka selalunya bersedia untuk membantu kerana segala kelengkapan bersunat, rawatan kecemasan dan susulan ada di tempat mereka.
Jika anak anda bersunat beramai-ramai di masjid, adalah lebih bagus untuk dapatkan maklumat peribadi seperti nama dan nombor telefon si tukang sunat, sekiranya ada keperluan untuk menghubungi mereka semula. Jika tidak, anda perlu ke hospital atau klinik untuk rawatan lanjutan.
Hubungi kami di SunatHome untuk prosedur sunat lelaki dewasa dan kanak-kanak menggunakan microcautery laser yang selesa, selamat dan cepat.