Alhamdulillah, Program Khatan Percuma, Taman Marin Tun Mustapha, Kudat telah berlangsung dengan jayanya pada 17 & 18 Ogos lepas. Seramai 15 orang sukarelawan (perubatan dan bukan perubatan) telah meluangkan masa selama 4 hari 3 malam di perairan Kudat, Pulau Banggi dan Pulau Balambangan untuk mengkhatankan anak-anak golongan asnaf dan terpinggir dari suku kaum Ubian, Banggi dan Bajau.
Seramai 25 orang kanak-kanak telah berjaya dikhatankan di SMK Banggi, Pulau Banggi pada 17 Ogos. Dengan kerjasama pengetua sekolah, pihak sukarelawan perubatan dan bukan perubatan telah dapat melaksanakan proses khatan dengan lancar. Program khatan di sini tamat sebelum solat Jumaat.
Selepas siap program di Pulau Banggi, kami menaiki bot ke Pulau Balambangan. Perjalanan mengambil masa selama 2 jam melalui laut yang sedikit bergelora disebabkan oleh angin yang kuat.
Di Pulau Balambangan, program khatan dilaksanakan di SK Balambangan, satu-satunya sekolah yang ada di pulau tersebut. Namun pada pagi program khatan tersebut, 18 Ogos, hanya ada 4 orang kanak-kanak sahaja yang datang daripada 12 nama yang tersenarai di dalam list. Sebahagian besar kanak-kanak tersebut berasal dari kampung bersebelahan, yang mana bila ditanya, rupa-rupanya bapa mereka tidak mempunyai duit untuk membeli minyak bot. Laut adalah satu-satunya jalan yang cepat dan selamat untuk mereka datang ke sekolah ini, namun akibat tidak mampu, mereka tidak berjaya datang pada waktu pagi.
Oleh itu, team kami pun pergi ke kampung mereka dan menjemput mereka yang ada dalam senarai untuk disunat bersama-sama dengan ibu mereka untuk datang ke sekolah untuk bersunat. Kami sambung lagi proses berkhatan pada waktu petang untuk menghabiskan lagi 6 kanak-kanak yang ketinggalan.
Selepas habis semua bersunat, mereka berjaya balik semula ke kampung mereka dengan bot yang telah dibiayai minyaknya oleh sukarelawan. Jumlah mereka yang bersunat ialah 9 orang pada hari kedua di Pulau Balambangan ini.