7 Faktor yang Boleh Menyebabkan Luka Sunat Lelaki Lambat Sembuh dan Cara Mengatasinya

Sunat atau khitan adalah prosedur yang biasa dilakukan atas pelbagai sebab, termasuk agama, budaya, dan kesihatan. Walaupun kebanyakan luka sunat sembuh tanpa masalah, terdapat beberapa faktor yang boleh melambatkan proses penyembuhan. Mengetahui faktor-faktor ini dan cara mengatasinya boleh membantu memastikan pemulihan yang cepat dan lancar. Berikut adalah tujuh faktor yang boleh menyebabkan luka sunat lelaki lambat sembuh dan cara untuk mengatasinya.

1. Jangkitan

Faktor: Jangkitan pada luka sunat adalah salah satu penyebab utama luka lambat sembuh. Gejala termasuk kemerahan, bengkak, nanah, dan demam.

Cara Mengatasinya: Pastikan kawasan luka sentiasa bersih dan kering. Gunakan antiseptik seperti yang disyorkan oleh doktor dan ambil antibiotik jika diperlukan. Jika terdapat tanda-tanda jangkitan, segera berjumpa doktor.

2. Pergerakan Berlebihan

Faktor: Aktiviti fizikal yang terlalu aktif atau pergerakan berlebihan boleh menyebabkan luka sunat terbuka atau mengalami trauma, yang melambatkan proses penyembuhan.

Cara Mengatasinya: Hadkan aktiviti fizikal dan elakkan pergerakan yang terlalu kasar selama beberapa minggu selepas sunat. Rehat yang mencukupi membantu mempercepatkan penyembuhan.

3. Penggunaan Pakaian yang Tidak Sesuai

Faktor: Pakaian yang ketat atau tidak sesuai boleh menyebabkan geseran dan iritasi pada kawasan luka, mengakibatkan luka lambat sembuh.

Cara Mengatasinya: Pakai pakaian longgar dan lembut untuk mengurangkan geseran pada kawasan luka. Pakaian yang longgar juga membantu meningkatkan pengudaraan dan mengurangkan risiko jangkitan.

4. Kekurangan Nutrisi

Faktor: Nutrisi yang tidak mencukupi boleh menjejaskan sistem imun dan melambatkan proses penyembuhan luka.

Cara Mengatasinya: Pastikan diet yang seimbang dan kaya dengan vitamin dan mineral, terutama vitamin C dan zink, yang penting untuk penyembuhan luka. Makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, daging tanpa lemak, dan kacang-kacangan adalah pilihan yang baik.

5. Diabetes

Faktor: Pesakit diabetes sering menghadapi masalah penyembuhan luka yang lebih perlahan disebabkan oleh peredaran darah yang tidak baik dan gangguan pada sistem imun.

Cara Mengatasinya: Kawal paras gula darah dengan baik melalui diet, senaman, dan ubat-ubatan. Pemeriksaan luka secara berkala oleh doktor juga penting untuk memastikan tidak ada komplikasi yang serius.

6. Merokok

Faktor: Merokok boleh mengurangkan aliran darah dan oksigen ke kawasan luka, menyebabkan penyembuhan yang lebih lambat.

Cara Mengatasinya: Berhenti merokok atau kurangkan tabiat merokok, sekurang-kurangnya selama tempoh penyembuhan luka. Ini akan meningkatkan aliran darah dan mempercepatkan proses penyembuhan.

7. Reaksi Alergi terhadap Bahan Pembalut

Faktor: Sesetengah lelaki mungkin mengalami reaksi alergi terhadap bahan pembalut atau antiseptik yang digunakan, menyebabkan iritasi dan luka lambat sembuh.

Cara Mengatasinya: Gunakan bahan pembalut yang hipoalergenik dan antiseptik yang sesuai dengan kulit sensitif. Jika terdapat tanda-tanda reaksi alergi, berjumpa doktor untuk mendapatkan alternatif yang lebih sesuai.

Kesimpulan

Penyembuhan luka sunat yang cepat dan tanpa komplikasi memerlukan penjagaan yang teliti dan pemahaman tentang faktor-faktor yang boleh melambatkan proses tersebut. Dengan mengenal pasti dan mengatasi faktor-faktor ini, anda boleh memastikan proses penyembuhan yang lebih lancar dan mengurangkan risiko komplikasi. Jika anda menghadapi sebarang masalah atau mempunyai kebimbangan mengenai penyembuhan luka sunat, jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat daripada doktor. Kesihatan dan kesejahteraan anda adalah yang paling penting, dan dengan penjagaan yang betul, anda boleh memastikan pemulihan yang cepat dan berkesan.

3 ubat luaran yang selalu diberi untuk penjagaan luka sunat yang lengkap

Tak ramai yang tau macamana nak jaga luka sunat dengan betul selepas bersunat. Untuk kanak-kanak, selalunya ibu bapa kurang pengetahuan tentang bagaimana untuk menguruskan luka sunat anak-anak mereka. Ditambah pula dengan kerenah anak-anak yang kadang-kadang terlalu manja dan tidak mahu pun luka disentuh, luka tersebut terdedah kepada jangkitan kuman kerana tidak dibersihkan dengan betul.

Apabila luka sunat tidak dicuci dan dibersihkan dengan betul, ia boleh menyebabkan luka tersebut dijangkiti kuman. Apabila dijangkiti kuman, luka tersebut akan berair, mungkin bernanah, berbau dan sakit. Ini juga akan menyebabkan tempoh penyembuhan luka menjadi lebih panjang. Dalam beberapa kes, luka tersebut perlu dijahit semula kerana ia terbuka tetapi belum melekat dengan betul selepas benang jahitan terputus.

Oleh itu penjagaan luka luaran sunat perlu dilakukan dengan betul supaya komplikasi yang tersebut di atas boleh dielakkan. Selain dari ubat yang dimakan, kami akan beri juga ubat-ubatan luaran “topical” untuk membersihkan kawasan luka dan mengelakkan jangkitan kuman.

Selalunya selepas sunat, luka akan dibalut oleh doktor untuk menyerap cecair serum dan darah dari luka sunat. Selepas 24 jam, balutan luka boleh dibuka perlahan-lahan. Jika kain kasa “gauze” melekat pada kawasan luka, basahkan kain kasa balutan tersebut dengan air suam dan bilas beberapa kali sehingga ia tertanggal dari kawasan luka.

Selepas balutan dibuka, anda boleh mandi seperti biasa. Luka boleh dibasahkan sewaktu mandi, tetapi ia perlu cepat-cepat dikeringkan dengan tuala kecil yang bersih dan kering. Cuci luka dengan ceciar Chlorhexidine 0.4% yang diberi oleh doktor dengan cara mencelupkan kapas pada cecair tersebut dan lap pada kawasan luka. Buat beberapa kali dan keringkan dengan kain bersih.

Selepas itu, sapukan krim Neomycin 0.3% (berwarna putih) pada sekeliling kawasan luka. Ia berfungsi untuk mengelakkan jangkitan kuman pada luka. Jika luka telah kering, ia tidak perlu dibalut. Tetapi jika luka masih sedikit basah, bolehlah dibalut dengan kain kasa “gauze” cuma jangan balut terlalu tebal atau ketat. Krim Neomycin ini boleh disapukan 2 kali sehari setiap kali selepas mandi.

Pada waktu malam sebelum tidur, selepas membersihkan luka, sila sapukan satu lapisan nipis Solcoseryl gel 10%. Ia berfungsi seperti gam kulit “skin glue” untuk “repair” luka tersebut supaya cepat sembuh.

Kurangkan pergerakan untuk 3 hari pertama selepas sunat. Hadkan aktiviti harian kepada aktiviti yang ringan – jangan bersukan atau mengangkat barang yang berat kerana ia boleh mengakibatkan luka susah untuk sembuh.

Juga makan ubat-ubatan yang telah diberi oleh doktor bersama-sama dengan ubat luaran yang tersebut di atas. Semoga luka anda lekas sembuh!

 

 

Bahana bersunat sendiri: D-I-Y (do it yourself) circumcision

Seorang lelaki dari Nanning, China, telah dikejarkan ke hospital selepas beliau mencuba untuk menyunat dirinya sendiri, akhbar harian memberitahu.

Lelaki berumur 25 tahun itu yang merasakan kulit kulupnya yang terlalu panjang, membuat keputusan untuk menyunat dirinya sendiri kerana beliau terlalu malu untuk mendapatkan nasihat perubatan.

Beliau membeli alatan sunat tersebut dari atas talian (online) dan cuba untuk melakukan “pembedahan” dengan membaca langkah-langkah prosedur dari internet. Dia akhirnya terpaksa menjalani pembedahan kecemasan di hospital.

Adalah tidak pelik untuk kita mendengar cerita sebegini rupa, apabila banyak alatan bersunat sendiri (DIY circumcision) dijual di atas talian. Anda boleh sahaja beli alatan tersebut untuk bersunat sendiri dengan mengikuti langkah-langkah yang telah digariskan di internet, namun, ada beberapa isu yang perlu diketahui sebelum anda melakukan tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri.

Inilah 5 perkara yang anda perlu tahu sebelum melakukan sunat ke atas diri sendiri!

1. Isu keselamatan alatan tersebut

Sebenarnya, alatan untuk bersunat yang dijual di internet adalah untuk digunakan oleh pengamal perubatan yang bertauliah dan mempunyai latihan dan ilmu yang cukup untuk melakukan prosedur seperti ini (doktor, pembantu perubatan dan jururawat). Mereka sudah cukup ilmu dan latihan untuk memastikan prosedur sunat dijalankan dengan bersih dan selamat. Jika anda tidak mempunyai ilmu dan latihan yang cukup, adalah dikhuatiri proses “pembedahan” sendiri yang anda jalankan mungkin tidak selamat (tersilap kepit atau tersilap tanda), ada kemungkinan anda perlu bergegas ke jabatan kecemasan di hospital untuk rawatan lanjut.

2. Isu jangkitan kuman

Sebelum prosedur sunat dijalankan oleh pengamal perubatan yang sah, kawasan kemaluan lelaki perlu dibersihkan dan disterilkan daripada kuman. Antiseptik yang kuat seperti iodin atau chlorhexidine akan digunakan untuk memastikan kawasan sunat bersih dan bebas dari kuman. Sekiranya anda melakukan sunat sendirian tanpa ilmu, ada kemungkinan kawasan kemaluan anda tidak dapat dibersihkan dengan sempurna, terutama sekali pada kawasan di dalam kulit kulup. Jika prosedur sunat dapat dijalankan pun, ada kemungkinan kawasa kulup yang tidak bersih boleh menyebabkan luka sunat dijangkiti kuman. Jangkitan kuman boleh menyebabkan luka tidak dapat sembuh dengan sempurna dan perlukan masa yang lebih lama untuk sembuh.

3. Isu rawatan susulan

Ok, katakanlah anda berjaya bersunat dengan sendiri, selepas mengikuti semua langkah-langkah keselamatan dan kebersihan yang disarankan. Kebanyakan alatan sunat yang boleh dipasang sendiri ini perlu dibuka selepas seminggu, dan proses penyembuhan luka diharapkan dapat berlaku dengan baik selepas itu. Namun, ada segelintir pesakit yang mana kulit luka sunat tersebut tidak dapat melekat dan sembuh dengan baik, lalu menyebabkan luka terbuka (wound dehiscence). Jika pesakit tidak sedar yang luka tersebut terbuka, ada risiko untuk beliau mengalami jangkitan kuman. Rawatan susulan selepas prosedur sunat adalah penting untuk doktor mengenalpasti kes begini supaya dapat diberikan rawatan yang betul.

4. Isu kos rawatan

Sebenarnya kos bersunat untuk lelaki dewasa adalah berpatutan, walau di mana pun anda lakukannya. Kebanyakannya dilakukan di klinik atau hospital swasta, yang mana anda membayar untuk perkhidmatan yang mereka sediakan, termasuk bilik yang sesuai, kepakaran doktor yang melakukan sunat, ubat-ubatan yang diperlukan dan rawatan susulan. Memanglah kos sunat DIY dengan alatan yang dibeli dari ebay agak murah (Shang ring dan Prepex ada yang berharga dalam lingkungan USD20), namun anda tidak membayar untuk kepakaran orang yang betul-betul pandai melakukannya. Anda mungkin terpaksa membayar dengan harga yang lebih tinggi sekiranya prosedur sunat yang anda buat sendiri tidak berjalan seperti yang anda rancangkan.

5. Isu ubat bius setempat

Prosedur sunat selalunya perlukan suntikan ubat bius setempat diberikan pada kawasan pangkal batang zakar untuk memudahkan prosedur dijalankan. Ini kerana proses pemotongan kulit kulup akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat, dan mungkin tidak boleh ditahan oleh pesakit. Alatan seperti Prepex memerlukan ubat bius topikal yang boleh disapu pada kawasan kulup, namun anda perlukan preskripsi doktor untuk mendapatkan ubat bius tersebut dari farmasi. Oleh kerana anda tidak pasti dengan dos ubat tersebut, anda mungkin akan menggunakan terlampau banyak atau terlampau sedikit ubat bius topikal tersebut. Ini akan menyebabkan ketidakselesaan anda mengawal kesakitan dari prosedur yang anda lakukan sendiri.

Jadi kesimpulannya, adalah lebih selamat dan bagus anda bersunat dengan orang yang mempunyai kepakaran yang betul dalam bidang sunat, berbanding dengan mencuba untuk melakukannya sendiri di rumah!

 

Program Jom Berkhatan 4, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu 2014

Pada hari Sabtu yang lalu, 13 Disember 2014 telah berlangsung Program Jom Berkhatan Siri ke-4 Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Seramai 23 orang kanak-kanak dalam lingkungan umur 7-13 tahun telah berjaya dikhatankan oleh 3 orang doktor termasuk saya sendiri. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar, dan kami berjaya menyelesaikan semua kanak-kanak menjelang waktu Zohor.

Program berkhatan beramai-ramai bersama Rumah Darul Bakti, Kota Belud

Pada bulan Mac 2013 yang lepas, kami telah berangkat ke Rumah Anak-anak Yatim Darul Bakti, Kota Belud untuk melaksanakan program berkhatan beramai-ramai, anjuran Klinik Sabah dan Dr. Ruhaizad sendiri. Seramai 9 orang anak-anak telah selamat dikhatankan dalam tempoh masa yang singkat (3 jam sahaja) pada hari Ahad, 24 Mac 2013.

Di sini kami ingin kongsikan gambar-gambar sekitar program tersebut yang telah diambil oleh kakitangan rumah anak-anak yatim tersebut. Sekiranya pihak tuan/puan yang mewakili organisasi serupa, kami juga boleh menguruskan program khatan berkumpulan di tempat tuan/puan.