UPDATE: Program Khatan Percuma untuk anak-anak asnaf/peribumi di Pulau Banggi dan Balambangan, Taman Tun Mustapha, Kudat.
Tinggal lebih kurang dua bulan lagi untuk program yang julung kali saya nak buat dengan bantuan abang Laili Basir (HUGS Project) ni.
So far, alhamdulillah, ramai insan-insan dermawan yang telah memberikan sumbangan kepada projek ini. Jutaan terima kasih kepada semua penderma sama ada yang saya kenal maupun tidak, di atas sumbangan anda. Insyallah, saya dan team akan menyalurkan semua sumbangan anda kepada mereka yang memerlukan.
Memang objektif asal kami ialah nak bantu anak-anak asnaf/peribumi di pulau-pulau terbabit bersunat dengan selesa dan selamat, kerana khidmat sebegini rupa amatlah jarang mereka dapat. Jika ada pun kemungkinan ia dilakukan oleh tok mudim yang tidak bertauliah ataupun perlukan kos yang tinggi untuk mereka keluar dari kampung bagi mendapatkan perkhidmatan sunat dari pusat kesihatan terdekat.
Saya telah mendapat persetujuan daripada beberapa orang pakar bedah dan pegawai perubatan yang bertauliah dari institusi awam dan swasta untuk memberikan khidmat bakti kepada mereka sebagai sukarelawan dalam program ini. Diharapkan mereka dapat diberikan cuti dari ketua jabatan supaya kepakaran mereka dapat dimanfaatkan oleh golongan terpinggir seperti ini.
Bersyukur juga kepada Ilahi kerana projek ini juga telah diberikan sokongan penuh daripada Lembaga Taman-Taman Sabah (Sabah Parks), yang menjadi “guardian” kepada Tun Mustapha Marine Park ini. Ia adalah satu kerjasama yang amat bermakna buat kami, kerana sokongan mereka amat diperlukan untuk memudahkan kami dari segi lojistik dan komunikasi dengan penduduk setempat.
Insyaallah, jika tidak ada aral, projek ini akan berlangsung dari 16-19 Ogos 2018 di Taman Tun Mustapha, Kudat. Seramai 40 orang anak-anak asnaf/peribumi akan dikhatankan.
Sekiranya ada lagi yang ingin menyumbang kepada tabung projek ini, bolehlah hubungi nombor yang tertera. Buat masa ini, sponsor untuk sunat sudah mencukupi, tetapi kami masih lagi boleh menerima sumbangan untuk tajaan belanja keperluan asas harian mereka sekeluarga.
Insyallah saya akan update perkembangan projek ini di sini.
*Klinik Sabah ialah affiliate SunatHome untuk perkhidmatan sunat moden menggunakan laser.
#hugsproject
#sunathome2u
#kliniksabah
Dalam tempoh seminggu ini, ada dua orang jejaka datang berjumpa dengan saya untuk bersunat, setelah menyesal terikut-ikut kawan meng”inject” kononnya silikon ke dalam batang zakar mereka.
Seorang berumur dalam 50-an, sudah berumahtangga dan seorang lagi dalam 20-an, masih bujang.
Hampir kesemua kes yang sebegini rupa, apabila datang berjumpa dengan saya, sunat/khatan tidak dapat dilakukan di klinik. Ini kerana ada pertambahan prosedur dalam sunat/khatan tersebut, iaitu “repair”.
Apabila batang zakar disuntik dengan silikon atau minyak mineral oleh mereka yang tidak bertauliah, akan berlaku ketidaksamarataan suntikan “filler” tersebut ke dalam kulit.
Ini mengakibatkan terhasilnya benjolan-benjolan tidak sekata pada batang zakar dan nampak tidak cantik.
Benjolan-benjolan (granulomatous lesion) inilah yang perlu dibuang oleh doktor pakar bedah palstik dan pakar bedah urology dalam proses “repair” batang zakar tersebut sebelum sunat dilakukan.
Sekiranya ada lagi kulit kulup yang boleh digunakan untuk “flap”, ia akan digunakan untuk menutup luka sunat. Tetapi sekiranya tiada kulit yang sesuai lagi, “skin graft” akan dilakukan – kulit dari bahagian badan lain akan digunakan untuk menutup luka yang diakibatkan oleh “granulomatous lesion” oleh suntikan silikon tersebut.
Jadi sekiranya anda datang ke klinik, saya akan tuliskan surat rujukan untuk berjumpa pakar bedah urology di hospital, kerana prosedur yang sukar ini tidak dapat dibuat di Sunat Home kerana adanya limitasi perkhidmatan, risiko pendarahan dan risiko “wound dehiscence” yang tinggi.
Hubungi kami di 010-9314190 untuk informasi lanjut tentang sunat.
Terbuka kepada semua klien DEWASA SunatHome yang PERNAH bersunat dengan kami dari tahun 2013 sehingga sekarang.
Warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas. Pelajar dan murid sekolah tidak layak sertai.
Anda akan dibayar RM20 untuk setiap kawan yang datang ke SunatHome dan berjaya bersunat dengan kami.
Kawan anda juga akan diberikan diskaun istimewa RM20 jika memberitahu yang dia diajak oleh anda!
Komisen akan dibayar pada minggu pertama setiap bulan ke dalam akaun bank anda.
Jika berminat untuk sertai, sila Whatsapp kami nama penuh, nombor IC, nama bank dan nombor akaun untuk memudahkan pembayaran komisen dilakukan.
Mulakan promosi dengan kawan-kawan dengan bercerita tentang pengalaman bersunat dan berkongsi faedah serta kebaikan bersunat dari segi kesihatan!
Tips-tips yang boleh digunakan untuk berkongsi dengan kawan-kawan pasal sunat:
Ceritakan pengalaman sendiri pasal sunat dengan SunatHome.
Kenapa nak bersunat, walaupun umur sudah dewasa?
Kenapa pilih untuk bersunat dengan SunatHome?
Apa kelebihan SunatHome berbanding klinik lain dari segi kemudahan bersunat untuk lelaki dewasa?
Ceritakan pengalaman sewaktu prosedur sunat dijalankan.
Apakah yang doktor pesan untuk dilakukan sebelum dan selepas bersunat?
Bagaimanakah pengalaman bersunat dengan menggunakan “Electrocautery Laser”?
Bagaimanakah pula cara-cara penjagaan luka selepas bersunat?
Ceritakan kelebihan selepas luka sunat sembuh.
Berapa lamakah masa yang diambil untuk luka sunat sembuh sepenuhnya?
Apakah faedah-faedah kesihatan yang boleh didapati selepas bersunat?
Bagaimanakah pula keadaan perhubungan intim dengan pasangan selepas bersunat?
Hanya Kongsi >> Terima >> Ulang!
Hubungi untuk mengetahui maklumat lanjut tentang sunat untuk lelaki dewasa!
Pada hari Ahad yang lepas, 18 Mac 2018, seramai 9 orang anak-anak yatim dari beberapa rumah anak yatim sekitar Putatan dan Papar berjaya disunatkan. Majlis yang sederhana tersebut telah dianjurkan oleh Persatuan Anak Rantau Kedah D’Sabah (PARKES) dan telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin.
Walaupun cuti sekolah agak pendek (seminggu sahaja), tetapi bersunat menggunakan teknik electrocautery laser ini akan mempercepatkan proses penyembuhan luka sunat. Insyaallah, luka boleh sembuh sebelum sekolah dibuka semula pada minggu hadapan.
Semoga menjadi anak-anak yang soleh dan berguna kepada masyarakat pada waktu akan datang.
Hubungi kami di SunatHome 010-9314190 untuk maklumat lanjut mengenai sunat untuk lelaki dewasa dan kanak-kanak.
Ada sesetengah kes luka sunat yang lambat sembuh, disebabkan oleh kelembapan kawasan luka, jangkitan kuman atau umur pesakit yang lanjut.
Kawasan luka yang terlalu lembab menyebabkan cecair badan keluar dari luka (berwarna jernih kekuningan). Ia tidak sakit, tetapi sedikit berbau. Adalah lebih baik luka begini dibersihkan dengan kerap supaya sedikit kering atau dibalut dengan gauze bersih setiap kali selepas mandi.
Jangkitan kuman pada kawasa luka juga boleh menyebabkan luka lambat sembuh. Kawasan luka yang berwarna merah dan sakit berdenyut-denyut adalah tanda luka sunat dijangkiti kuman. Adalah lebih baik untuk pesakit berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan membunuh kuman tersebut sebelum luka dirawat.
Umur pesakit yang lanjut juga boleh menyebabkan luka lambat sembuh, kerana kulit telah kurang produksi kolagen yang perlu untuk penyembuhan luka.
Untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka sunat bagi ketiga-tiga masalah tersebut, saya selalunya mencadangkan untuk pesakit mendapatkan ubat sapuan gel Solcoseryl Jelly 10% 20 gram yang boleh dibeli di farmasi-farmasi berdekatan. Boleh sapukan ia 3-4 kali sehari selepas luka dibersihkan. Ia akan membantu mempercepatkan proses pemulihan luka.
Kelmarin saya didatangi seorang lelaki dewasa dalam lingkungan 40an yang ingin bersunat/berkhatan. Beliau juga merupakan seorang pesakit kencing manis (diabetes mellitus) selama lebih kurang 5 tahun dan sedang dalam rawatan dengan ubat yang telah diberikan oleh doktor. Persoalan beliau yang utama, bolehkan beliau disunat/dikhatan?
Jawapan mudahnya: Boleh, tetapi dengan syarat, paras gula dalam darah dikawal dengan baik.
Apabila ditanya, beliau menyatakan yang paras gula berpuasa (fasting blood sugar) beliau berkisar antara 10-11 mmol/L. Ini menunjukkan yang paras gula beliau tidak dikawal dengan bagus, kerana sepatutnya paras gula berpuasa sepatutnya berada dibawah 6 mmol/L.
Ada beberapa sebab mengapa paras gula tidak dapat dikawal dengan baik, antaranya ialah:
Tidak makan ubat mengikut dos dan kekerapan yang telah ditetapkan oleh doktor. Beliau mungkin lupa atau sengaja tidak makan ubat kerana rasa tidak perlu.
Makan ubat ikut aturan, tetapi tidak mengawal makanan manis bergula dan karbohidrat yang berlebihan.
Mungkin juga dos ubat tidak cukup bagus untuk mengawal gula dalam darah dengan baik, walaupun telah berpantang makanan bergula dan manis dan bersenam. Jika ini yang berlaku, beliau sepatutnya berjumpa dengan doktor yang merawat kencing manis beliau untuk disemak kembali jenis ubat dan dos yang diberikan, kerana mungkin perlukan sedikit “adjustment” pada jenis ubat dan kekerapan dos.
Mungkin hanya mengharapkan dengan menjaga makan dari makanan yang manis dan bergula dengan bantuan supplemen-supplemen yang tidak diketahui keberkesanannya atau herba-herba yang dikatakan dapat menurunkan paras gula dalam darah, tetapi sebenarnya tidak.
Jika paras gula dalam darah tidak dikawal dengan baik, saya selalunya tidak menggalakkan untuk sunat/khatan dilakukan kerana ia akan menyebabkan:
Luka lambat sembuh. Paras gula yang tinggi di dalam darah akan menyebabkan proses pemulihan dan penyembuhan luka akan menjadi sangat lambat.
Luka terdedah dengan jangkitan kuman. Apabila luka lambat sembuh, ia akan terdedah dengan jangkitan kuman. Dengan paras gula yang tinggi dalam darah, jangkitan kuman amat mudah untuk merebak dan sukar dikawal.
Oleh itu, saya telah menasihatkan beliau untuk mengawal dahulu paras gula dalam darah kepada 6 mmol/L (fasting) dan paras HbA1c beliau 6.5%. Beliau perlu kembali dengan doktor yang merawat beliau dan berbincang untuk memperbaiki rawatan dan ubat agar paras tersebut dapat dicapai. Selepas target paras gula dalam darah dicapai, barulah boleh bersunat.
Jika anda mempunya masalah yang serupa, sila berjumpa dengan doktor yang merawat untuk mengawal dahulu paras gula dalam darah dengan baik. Makan ubat, bersenam dan berpantang dari makan makanan yang manis dan tinggi karbohidrat. Ini adalah untuk memastikan yang rawatan luka sunat selepas berkhatan akan dapat sembuh dengan cepat dan jangkitan kuman dapat dielakkan.
Hubungi kami di 010-9314190 untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang sunat lelaki dewasa dan kanak-kanak.
Selalunya luka sunat yang telah dipotong akan dijahit untuk memudahkan proses penyembuhan dan memberikan hasil kosmetik yang cantik apabila luka tersebut sembuh. Jahitan akan dilakukan oleh doktor dengan menggunakan benang jahitan luka yang spesifik untuk kulit manusia. Untuk sunat, benang jahitan yang digunakan adalah jenis yang “absorbable” (mudah diserap oleh badan).
Sebenarnya ada banyak jenis benang jahitan luka mudah diserap yang digunakan di pusat-pusat kesihatan, tetapi untuk sunat, jenis Catgut adalah yang paling sering digunakan kerana ianya mudah didapati, murah dan dapat melakukan tugasnya dengan baik.
Catgut 3/0 dan Catgut 4/0 adalah dua jenis benang jahitan yang sering digunakan untuk menjahit luka sunat. Ia diperbuat daripada bahan organik iaitu usus biri-biri atau lembu. Nombor 3/0 dan 4/0 di belakang nama Catgut merujuk kepada saiz benang. 3/0 adalah benang jahitan yang mempunyai diameter lebih besar dari 4/0. Oleh itu Catgut 3/0 selalunya digunakan untuk menjahit luka sunat lelaki dewasa dan Catgut 4/0 yang berdiameter lebih kecil digunakan untuk menjahit luka sunat kanak-kanak.
Catgut yang digunakan akan mula mereput selepas satu minggu, yang mana ia akan dicernakan oleh enzim yang ada di dalam badan manusia untuk mereput. Selepas lebih kurang dua minggu dan luka sudah sembuh, Catgut tersebut akan tanggal dengan sendirinya.
Anda dilarang untuk mencabut, menarik atau menanggalkan jahitan tersebut terlalu awal kerana dikhuatiri luka di sebelah dalam kulit belum lekat dan sembuh sepenuhnya. Ia boleh mengakibatkan luka terbuka dan jangkitan kuman boleh berlaku. Anda perlu pastikan yang kawasan luka sentiasa kering dan bersih. Luka yang lembab dan kawasan kemaluan yang tidak bersih boleh menyebabkan jangkitan kuman mudah berlaku. Benang akan lebih mudah mereput dan putus lebih awal dalam keadaan begitu.
Hubungi kami di 010-9314190 untuk meklumat lanjut tentang sunat lelaki dewasa dan kanak-kanak.
Luka sunat akan ditutup dan dijahit menggunakan benang yang akan reput dengan sendirinya selepas seminggu dua. Selalunya benang jahitan jenis Catgut digunakan, kerana ianya murah, mudah didapati dan dapat melakukan fungsinya dengan baik.
Catgut (yang diperbuat dari usus biri-biri dan bukannya usus kucing) berfungsi untuk merapatkan luka pada dua tebing kulit yang dipotong ketika sunat dilakukan. Luka sunat yang dijahit rapat akan mempercepatkan proses penyembuhan luka, berbanding luka yang dibiarkan sembuh dengan sendirinya.
Luka selalunya akan ambil masa lebih kurang seminggu untuk melekat dan kering. Pada masa ini, jahitan tidak lagi diperlukan kerana luka yang sudah melekat tidak akan terbuka semula. Akibat tindakbalas enzim di dalam badan, Catgut akan mula mereput dan putus selepas lebih kurang 10-14 hari dari tarikh sunat.
Namun begitu, ada beberapa kes yang mana Catgut putus terlalu awal. Antara sebabnya ialah jangkitan kuman dan keadaan yang sentiasa basah dan lembab pada kawasan luka. Sebab itulah amat penting untuk kita jaga kebersihan luka dan sentiasa pastikan yang ia kering.
Jika benang jahitan putus terlalu cepat, ia akan menyebabkan luka tidak dapat melekat sempurna dan proses penyembuhan menjadi lambat. “Wound dehisence” atau luka terbuka tanpa penyembuhan yang betul perlu dirawat dengan menjahit semula luka tersebut untuk mengelakkan dari jangkitan kuman dan meninggalkan parut.
Hubungi kami di 010-9314190 untuk maklumat lanjut tentang bersunat/berkhatan lelaki dewasa dan kanak-kanak.
Assalamualaikum. Berakhirlah sudah cuti sekolah untuk tahun 2017. Ini bermakna musim sunat untuk murid sekolah juga melabuhkan tirainya.
Alhamdulillah, pada musim cuti sekolah tahun ini, SunatHome telah berjaya menyunatkan lebih 200 orang murid sekolah dan lelaki dewasa dalam tempoh masa lebih kurang sebulan. Semoga luka cepat-cepat sembuh dan boleh bersekolah dan bertugas macam biasa pada Januari 2018 nanti.
SunatHome telah berjaya berkerjasama dengan dua buah masjid yang sungguh jauh jaraknya untuk melakukan sunat/khatan beramai-ramai. Masjid Assalam Kg. Contoh Petagas dan Masjid Asshakirin Kg. Kenangan Dato’ Abdullah Jaafar Bakri Muar telah memberikan kerjasama yang begitu baik dalam menjayakan program tersebut.
Bagaimana masjid tersebut terpilih?
Masjid Assalam merupakan masjid yang bersebelahan dengan sekolah agama anak-anak Dr. Ruhaizad, yang mana tenaga pengajar, ustaz dan ustazahnya adalah AJK masjid terbabit.
Masjid Asshakirin pula merupakan masjid di kampung halaman Dr. Ruhaizad, yang mana bapa beliau adalah AJK masjid tersebut. Semasa beliau balik bercuti, beliau berkesempatan untuk memberikan khidmat kepada masyarakat kampung setempat.
80 orang kanak-kanak telah disunatkan pada kedua-dua majlis tersebut, yang mana ia dimeriahkan lagi oleh pemimpin setempat, siap dengan pancuran air bomba sebagai pembuka majlis.
Semoga program seumpama ini dapat dilakukan lagi pada masa akan datang.
Anda ingin majlis khatan beramai-ramai diadakan di tempat anda? Boleh hubungi kami untuk maklumat lanjut di 010-9314190.
Bulan lepas alat Flashcutter yang saya gunakan untuk buat sunat guna electrocautery laser selama lebih 3 tahun menemui ajalnya. Entah kenapa tiba-tiba satu pagi tu bila saya hidupkan, lampu LED yang sepatutnya menunjukkan ia berfungsi, tidak menyala. Ngam-ngam pula masa tu saya baru nak mulakan hari di klinik dengan mengkhatankan seorang budak berumur 12 tahun. Saya panik sekejap, sebab budak tu dah pun terbaring dan bersedia di atas katil, sambil saya masih terkial-kial cuba menghidupkan Flashcutter tu.
Apabila semua percubaan untuk menghidupkan alat tersebut gagal, terpaksalah saya gunakan teknik lama “dorsal-slit” untuk buat sunat/khatan. Mujur juga dia berbadan kecil dan zakarnya masih bersaiz kanak-kanak. Kalau orang dewasa, ia mungkin satu prosedur yang akan mengambil masa yang lama. Kulitnya yang masih nipis dan kurang salur darah yang besar betul-betul memudahkan saya untuk melakukan sunat tanpa ada komplikasi yang besar.
Selepas sunat siap, saya menerangkan kepada ayahnya tentang apa yang berlaku dan beliau faham. Beliau perlu menukar balutan pada luka untuk beberapa hari disebabkan sunat dengan cara “dorsal-slit” ini membuatkan luka menjadi kering lebih lambat. Saya selalunya tidak membuat balutan pada luka sunat kanak-kanak yang menggunakan Flashcutter kerana luka cepat kering.
Oleh sebab ada sedikit kesukaran untuk saya menghubungi supplier Flashcutter dengan niat untuk memperbaikinya, (tempoh warrantynya juga sudah luput) saya terpaksa mencari supplier lain yang boleh membekalkan alat electrocautery laser yang baru dengan cepat. Saya memilih untuk mendapatkan alat Cautertech Penshaped-SS electrocautery device keluaran Azzamediserve Enterprise dari Muar, Johor selepas setahun follow facebook page mereka.
Selepas lebih kurang seminggu menggunakan Cautertech ini ke atas beberapa orang klien sunat/khatan dewasa, saya amat berpuas hati dengan prestasi alat ini. Di sini saya ingin kongsikan review alat tersebut supaya anda boleh tahu kebaikan dan aspek yang boleh diperbaiki. Mungkin dengan adanya review ini, pihak Azzamediserve boleh melakukan penambahbaikan kepada alat cautery mereka.
Pek bateri
Kecil dan ringan. Batteri terletak di dalam pemegang yang berbentuk silinder. Oleh kerana saiz bateri yang kecil berbanding Flashcutter yang saya gunakan sebelum ini, kuasa penyimpanan caj juga adalah lebih kecil. Mengikut apa yang diberitahu, dengan sekali caj, ia dapat digunakan untuk buat sunat sehingga 20 orang kanak-kanak. Amat sesuai untuk “clinic settings” dan sunat “home visit”, tapi mungkin kurang sesuai jika diguna sewaktu event besar yang lebih dari 20 orang atau di tempat pedalaman yang jauh dan tiada bekalan elektrik (tak pelik sebab saya tinggal di Sabah). Mungkin perlu dicaj lebih dari sekali sewaktu program sunat dijalankan, dan mungkin juga perlu bawa “power bank” yang mempunyai kuasa yang besar untuk mengecaj.
Cautertech ini menggunakan micro-usb charger yang biasa untuk telefon bimbit dan smartphone. Ini amat memudahkan kita untuk mengecajnya, kerana kita boleh gunakan pengecaj telefon bimbit yang biasa digunakan.
Handle (pemegang)
Berbentuk silinder dan sedikit berat berbanding flashcutter kerana bateri terletak pada handle. Walaupun saiz bateri lebih kecil berbanding Flashcutter yang saya gunakan sebelum ini, pemegang agak sedikit besar untuk genggaman tangan orang yang kecil. Bentuk silindernya yang sedikit besar juga menyebabkan cara pemegangan handle tidak sekemas bentuk pistol Flashcutter. Oleh kerana ia sedikit berat dan punatnya perlu ditekan dengan ibu jari sewaktu menggunakannya, ia mudah bergoyang dan kurang stabil. Perlukan tangan yang kuat dan mungkin sokongan/sandaran untuk menstabilkannya apabila melakukan cautery.
Tip
Wayar tahan panas untuk pemotongan kulit agak pendek, yang mana sangat sesuai untuk kulit kulup kanak-kanak, namun untuk dewasa, kita perlu menggesek wayar tersebut beberapa kali untuk memotong kulit. Pen tip pendek untuk cautery yang digunakan untuk “burn” salur darah yang kecil agak sesuai bentuk dan saiznya, walaupun kadang-kadang tangan boleh bergegar sewaktu digunakan.
Mudah alih (portable)
Saiz yang kecil, mudah alih dan lebih ringan berbanding Flashcutter. Amat mudah untuk dibawa kemana-mana dan tidak perlukan beg yang besar.
Packaging & presentation
Didatangkan dengan bekas plastik kecil yang memuatkan beberapa bentuk tip, charger dan wayar. Bekas boleh memuatkan instrumen pembedahan untuk sunat, namun ruang adalah terhad.
Bentuk
Silinder yang mudah bergolek jika tidak diletakkan dengan betul. Mungkin perlukan bekas spesifik, diletakkan dalam tray atau kidney dish sewaktu prosedur sunat dijalankan.
Lampu indikator
Berkelip sewaktu dicaj. Lampu terang berterusan bila sudah penuh caj. Tempoh caj boleh mengambil masa hingga 2 jam untuk penuh. Sewaktu digunakan lampu tidak menyala. Lampu akan berkelip ketika caj sudah hampir habis.
After sales service?
Amat mudah untuk dihubungi, namun lojistik mungkin menjadi cabaran. Oleh kerana saya tinggal di Sabah dan tempat rujukan jika ada masalah berada di Muar, Johor, mungkin ada sedikit sukar dan lambat untuk proses pembaikan dilakukan.
Buat masa ini, prestasi alat electrocautery ini amat memberangsangkan. Ada banyak penambah baikan yang boleh dilakukan ke atas alatan ini dari segi kemasan akhir dan presentasi alat. Saya nampak potensi yang besar untuk pencipta dan pembuat alatan ini.
Adakah ia berbaloi dengan harga yang dibayar?
Ya!
Untuk siapa Cautertech ini ditujukan?
Pembantu Perubatan/Penolong Pegawai Perubatan/Dressar yang melakukan sunat/khatan
Doktor-doktor di klinik yang melakukan sunat
Juga untuk doktor-doktor yang melakukan pembedahan kecil pada kulit dan pembuangan ketuat